Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, tampak akur dengan keputusan pemain profesional negara, Lee Zii Jia, tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) bagi menyertai Program Road to Gold (RTG).
Hannah Yeoh yang juga pengerusi bersama Program RTG menegaskan pihaknya tidak boleh memaksa mana-mana atlet yang enggan berbuat demikian.
"Saya tidak boleh memaksa atlet yang tidak mahu menerima Program RTG, ia terpulang kepada atlet untuk menerima atau sebaliknya," kata Hannah menerusi Nadi Arena.
Zii Jia ketika ini berada di luar negara untuk menyertai saingan Masters Jepun di Kumamoto yang bermula hari ini.
Zii Jia sebelum ini diberikan sedikit masa bagi meneliti butiran perjanjian selepas mengadakan pertemuan bersama penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam 3 November lalu.
Namun, tempoh masa yang diberikan kepada Zii Jia untuk memberikan jawapan kekal sehingga 14 November sebagai tarikh akhir,
Ini bermakna, Zii Jia muncul satu-satunya daripada 15 atlet yang tersenarai dalam RTG tidak berbuat demikian.
Hannah ditemui selepas merasmikan persidangan Wanita Dalam Sukan di Subang Jaya pada Selasa.
Fokus kepada pemerkasaan wanita dalam sukan, program yang berlangsung dari 14 hingga 16 November disertai seramai 150 peserta.
Ia terdiri daripada semua pemegang taruh terutama membabitkan atlet dan bekas atlet wanita kebangsaan termasuk atlet wanita luar negara.
Ammar Hakim
Tue Nov 14 2023