Pengurus pasukan skuad badminton MSSM Kuala Lumpur, Dr Chun Cheng Chuan, meletakkan sasaran sekurang-kurangnya tiga tempat teratas keseluruhan buat pasukan kendaliannya menjelang Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024.
Sasaran itu cukup realistik, memandangkan pasukan lain seperti Terengganu, Sabah dan beberapa negeri lain sudah mula menunjukkan prestasi cemerlang.
"Tahun lepas di Pulau Pinang kami mencapai tempat kelima, jadi tahun ini kami sasarkan KL akan jadi pasukan tiga terbaik berdasarkan prestasi semasa pemain ketika ini.
"Kami mengharapkan lebih banyak acara yang kami dapat layak ke pusingan akhir agar lebih cerah peluang untuk merangkul pingat emas, sekali gus menjadi juara serta capai sasaran di tempat ketiga adalah cerah," katanya.
Demi merealisasikan sasaran itu, ketua jurulatih, Mohd Nawawi Che Ahmad, percaya anak buahnya perlu sekurang-kurangnya dua pingat emas menerusi acara beregu lelaki dan campuran.
Ini berikutan kedua-dua kategori itu disertai oleh beberapa pemain yang berpengkalan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
"Setakat ini persediaan kami sejak dari awal tahun lagi sudah ada kejohanan yang melibatkan persatuan. Dari situ kami pilih wakil di peringkat daerah, negeri berdasarkan prestasi pemain masing-masing.
"Bukan mudah untuk buat keputusan dan mewakili Kuala Lumpur kerana kami perlu ada data yang akan memberi pihak keluarga berpuas hati dengan keputusan pemilihan itu." katanya.
Saufi Tahir
Mon Sep 16 2024