BADMINTON
Masters Malaysia BWF: Lima perseorangan hanya mampu salahkan diri sendiri kandas ke pusingan 16
Bahagian perseorangan negara menempuh cerita duka yang menyaksikan Leong Jun Hao antara lima taruhan negara yang terkandas di peringkat kelayakan Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2023, hari ini.
Jun Hao mengalami kejutan memandangkan mempunyai rekod pertemuan yang baik ketika menentang pemain Taiwan, Chi Yu Jen, apatah lagi mengambil kira prestasi Jun Hao dalam Sukan SEA Kemboja yang menyaksikannya mengalahkan pemain Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo.
Selepas memenangi set pertama, Jun Hao mengakui terlalu banyak kesilapan mudah serta menurutkan "nafsu" ketika melancarkan serangan yang menjadi titik tolak kepada kekalahan 22-20, 19-21, 11-21.
Iklan
"Sekarang tidak mahu fikirkan apa-apa lagi, saya hanya akan teruskan usaha kutip satu persatu mata.
"Mungkin pertukaran corak permainan lawan membuatkan saya (makin) bernafsu mahu menyerang jadi dengan pergerakan bulu tangkis yang agak perlahan dan ketiadaan angin (di venue ini) membuatkan permainan pihak lawan lebih selesa," kata pemain di ranking ke-62 dunia itu.
Dalam pada itu, seorang perseorangan negara yang ditimpa nasib sama adalah Mohamad Hafiz Mohamed Sikkander yang kecundang kepada pemain Perancis, Christo Popov, 9-21, 9-21 dalam pusingan pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Walaupun tewas, Hafiz tetap berpuas hati dengan persembahannya, apatah lagi ini merupakan kali pertama dia membuat penampilan dalam kejohanan siri 500.
"Sangat gembira dapat main dengan lawan yang lebih bagus daripada saya agar boleh perbaiki diri sendiri.
"Saya kalah (dalam aspek) kepantasan dan kekuatan di sebalik rasa gembira dan teruja," katanya.
Sekali lagi kekecewaan menimpa perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven, apabila disingkirkan wakil dari Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin.
Dia merumuskan kesilapan mudah menjerat dirinya berbanding kecederaan sebagai tiket alasan buatnya yang kalah straight set dalam tempoh 39 minit perlawanan 21-8, 21-18.
"Saya tetap gembira dapat kembali beraksi dalam Masters Malaysia walaupun baru baik daripada kecederaan, " kata pemain di ranking 71 dunia itu.
"Secara keseluruhannya mutu permainan saya masih baik cuma saya buat terlalu banyak kesilapan.
"Saya hanya boleh salahkan diri sendiri," katanya pula.
Cheam June Wei turut berputih mata apabila tunduk kepada Lee Chia Hao di sebalik sudah berhempas pulas.
Pemain ranking 44 dunia itu berkata tahap keyakinannya yang rendah dan tekanan memainkan peranan penting dalam perjuangannya kali ini.
Menurutnya lagi, walau berjaya bangkit dalam set kedua, dia seperti kehilangan arah dan beri mata mudah kepada pihak lawan.
Sementara itu, Aidil Solihin Ali Sadikin mengikut jejak kegagalan rakan seperjuangannya untuk ke pusingan 16.
Must-Watch Video