Lee Zii Jia kekal dengan pendirian bergerak sebagai pemain profesional di sebalik kini tanpa jurulatih walaupun ada ura-ura yang mengaitkannya kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Justeru, dia memerlukan sedikit masa untuk memikirkan semasak-masaknya terhadap potensi jurulatih akan datang selepas dipalit kontroversi dengan jurulatih terdahulu, Indra Wijaya.
"Dengan kelayakan Olimpik sudah bermula, saya agak tergesa-gesa untuk melantik jurulatih.
"Sudah ada beberapa nama tetapi ia belum dimuktamadkan.
"Susah hendak cakap, bukan sehari dua saya akan menghadapnya.
"Tapi ada dua fokus yang menjadi keutamaan iaitu keperluan untuk berkomunikasi dengan pakar fisioterapi, jurulatih gimnasium dan pengurus.
"Yang paling penting ialah apakah perancangannya untuk masa depan saya," katanya.
Zii Jia kini sedang menjalani persiapan kem negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, bagi persiapan menghadapi Piala Sudirman yang bermula 14 Mei ini.
Menurutnya lagi: "Selama ini saya tetap mencari jurulatih dan sedang memantau calon yang tepat kerana bimbang tidak serasi.
"Jadi kali ini pasukan saya perlu berbincang untuk tentukan apa yang saya perlukan, perancangannya sebagai faktor melantik seseorang jurulatih."
Shaiful Shamsudin
Fri May 05 2023