Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan barisan kejurulatihannya tidak lagi boleh menggunakan kekurangan pemain sebagai alasan, kata bekas jurulatih badan induk itu, Wong Tat Meng.
Tat Meng kini mengemudi skuad perseorangan lelaki Hong Hong selepas membawa pasukan wanita Korea Selatan menjuarai Piala Uber pada Mei lalu.
Baginya, skuad badminton Malaysia ketika ini memiliki ramai pilihan pemain dan apa yang perlu dilakukan BAM adalah menggilap bakat-bakat sedia ada itu dengan sebaik mungkin untuk menyerlah di persada antarabangsa.
"Saya ada menjalankan latihan di BAM (bersama skuad kebangsaan Hong Kong) selama seminggu dan apa yang mengejutkan, kita di Malaysia ketika ini mempunyai pilihan pemain yang amat besar," katanya kepada Nadi Arena.
"Kita memiliki ramai pemain muda, terutama di bahagian lelaki, jadi saya harap BAM tidak lagi menggunakan alasan kita tiada pemain.
"Perkara itu sudah lama saya dengari dan saya juga sudah tidak bekerja di Malaysia selama lima tahun, jadi kita sebenarnya mempunyai pilihan pemain yang besar, termasuk pemain muda yang berpotensi.
"Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan tahap mereka dan menjadikan mereka juara di peringkat antarabangsa.
"Itulah yang perlu difikirkan BAM dan barisan kejurulatihan mereka," katanya.
Muzaffar Musa
Mon Jul 11 2022