Skip to main content

Badminton

Kejuaraan tingkat keyakinan beregu negara - Rexy

rexy.jpeg
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, menyifatkan kejayaan beregu negara meraih kejuaraan berganda dalam kejohanan Terbuka Taiwan semalam mampu meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk mengharungi lebih banyak pertandingan selepas ini.

Justeru, dia mahu gandingan Chen Tang Jie-Toh Eei Wei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun membuktikan mereka mampu mengekalkan karakter juara dalam tiga kejohanan berturut-turut, iaitu Terbuka Korea, Jepun dan Australia.

“Saya berharap kejuaraan ini akan jadi lonjakan buat mereka untuk lebih yakin dan percaya dengan kemampuan diri sendiri.

“Ia juga diharap dapat membantu meningkatkan prestasi mereka pada masa akan datang,” katanya.

Dalam aksi final yang berlangsung di Arena Tian-Mu semalam, Wei Chong-Kai Wun mempertahankan kejuaraan selepas bangkit mengejutkan pasangan pilihan kedua dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 20-22, 21-17, 21-14 dalam tempoh satu jam 11 minit.

Dalam pada itu, Kai Wun memberitahu enggan berasa selesa dengan kejayaan yang dikecapi bersama Wei Chong kerana masih banyak kejohanan yang perlu diharungi selain berharap momentum dimiliki ketika ini dapat dikekalkan.

“Kami tidak boleh terlalu selesa kerana masih banyak kejohanan yang perlu diharungi. Malah, kami juga berharap dapat melepasi lebih banyak halangan dalam kejohanan yang akan datang.

“Kami akan cuba fokus untuk sekurang-kurangnya berada di peringkat suku akhir atau separuh akhir dalam setiap kejohanan yang disertai,” katanya.

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei pula mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan wakil tuan rumah, Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min, 21-12, 21-8 dalam aksi final, sekali gus meraih kejuaraan ketiga musim ini.

“Memang layak mereka menang. Mereka menunjukkan sikap yang baik dalam kejohanan ini dan ia pentas yang bagus untuk uji kemampuan mereka,” ujar Rexy lagi.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video