BADMINTON
Kejohanan Kebangsaan: Iskandar muncul juara
Iskandar Zulkarnain Zainuddin cemerlang merangkul gelaran juara Kejohanan Kebangsaan keduanya selepas menundukkan pilihan ketiga, Lee Zii Jia, dalam aksi straight set, hari ini.
Dalam pertarungan di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, Iskandar menampilkan rentak meyakinkan biarpun dicabar Zii Jia untuk memastikan set pertama menjadi miliknya 21-19.
Dalam set kedua, percaturan Zii Jia serba tidak menjadi, sekali gus memudahkan misi Iskandar untuk muncul juara hasil kemenangan 21-16 dalam tempoh 31 minit.
Iklan
"Setakat ini, saya berpuas hati dengan kejohanan ini kerana bukan mudah untuk mara ke final.
"Saya cukup berpuas hati," ujar Zii Jia.
Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong muncul juara selepas menidakkan usaha Arif Latif- Azriyn Ayup.
Walaupun diheret ke set penentuan, pilihan utama kejohanan itu memastikan pengalaman menjadi senjata mereka menerusi kemenangan 21-17, 19-21, 21-15.
"Saya fikir mereka adalah pasangan yang kuat. Menggunakan sepenuhnya pengalaman ketika bermain perseorangan dan membuktikan mereka istimewa selepas mara ke final.
"Mereka bermain baik," kata Wee Kiong yang mengalihkan perhatian menghadapi Terbuka Jerman sebelum ke pentas Kejohanan Seluruh England, bermula 14 Mac nanti.
Sambil itu, Arif-Azryn tidak menolak keterujaan mereka untuk mula fokus kepada acara beregu buat kali pertama bermula April depan dan kekalahan hari ini tidak melunturkan semangat mereka untuk meraih ranking 30 teratas pada musim ini.
"Mungkin agak sukar bagi kami kerana Azryn tidak dibenarkan bermain dalam Grand Prix Emas dan Siri Super.
"Jadi, saya minta kelonggaran daripada BAM untuk kami pergi lebih jauh," ujar Arif Latif pula.
Saingan beregu campuran menyaksikan pertembungan pilihan kedua negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, mengatasi pilihan utama, Tan Kian Meng-Lain Pei Jing, 21-17, 21-17.
Soniia Cheah turut menepati ramalan untuk merangkul gelaran perseorangan wanita apabila tidak berdepan masalah menundukkan Kisona Selvaduray, 21-14, 21-19.
Gelaran beregu wanita pula menjadi milik pasangan Goh Yea Ching-Soong Fie Cho selepas berjuang selama 55 minit untuk menundukkan Chow Mei Kuan-Yap Cheng Wen 21-19, 24-22.
Must-Watch Video