BADMINTON
Kejohanan Dunia BWF: Tiada perubahan drastik persiapan Lee Zii Jia
Pertembungan perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, menentang bintang Indonesia, Jonatan Christie, menjadi tumpuan pusingan pertama Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark.
Ia susulan undian dilaksanakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini menyaksikan Zii Jia turun sebagai pemain bukan pilihan.
BWF mengambil kira kedudukan ranking pemain itu yang kini menghuni tangga ke-13 dunia menerusi kemas kini pada 1 Ogos lalu yang dijadikan klasifikasi undian Kejohanan Dunia kali ini.
Iklan
Senario itu menyaksikannya bertemu salah seorang daripada 16 pemain pilihan termasuk nombor satu dunia dan juara bertahan, Viktor Axelsen.
Dan undian mempertemukan Zii Jia dengan Jonatan pilihan kelima kejohanan yang bakal menjadi pertembungan kelapan di antara mereka.
Bagaimanapun, Zii Jia lebih mahu menumpukan kepada persiapan sendiri berbanding terlalu memikirkan status pertemuan ini.
"Memandangkan waktu agak singkat buat kami -- kira-kira sebulan lebih sahaja maka tidak ada perubahan besar dalam latihan.
"Kami cuma teruskan persiapan," katanya.
Setidak-tidaknya pemain itu kini lebih yakin untuk turun ke Copenhagen berikutan kejayaan melangkah ke separuh akhir Terbuka Australia minggu lalu.
Ia memberi ruang untuknya mengorak langkah keluar daripada belenggu krisis prestasi sepanjang tahun ini.
"Sudah tentu terkandas dalam separuh akhir agak mengecewakan saya.
"Tetapi kemaraan ke ke peringkat itu meningkatkan moral saya.
"Ia satu proses yang besar dan kami perlu bersabar," katanya.
Must-Watch Video