Skip to main content

Advertisement

Badminton

Kami pasti kembali -- Aaron, Wooi Yik belum putus asa

aaron-chia-soh-wooi-yik.jpg
"Kami pasti akan kembali untuk bergelar juara."

Demikian azam yang dilaungkan pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selepas gagal menamatkan penantian 12 tahun negara bagi membawa pulang gelaran juara Kejohanan Badminton Seluruh England dalam kategori itu.

Aaron dan Wooi Yik terpaksa akur dengan keputusan perlawanan akhir semalam memandangkan lawan mereka, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan, bukan sahaja mempunyai ketahanan mental yang tinggi, malah lebih berpengalaman dalam aksi final.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat dua anak muda tersebut selepas mereka ke final dalam penyertaan pertama di Arena Birmingham itu dan turut menumbangkan beberapa nama besar lain seperti Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia) dan Liu Cheng-Zhang Nan (China).

Meniti perjalanan karier yang masih panjang, Aaron dan Wooi Yik berikrar akan hadir semula dalam Kejohanan Seluruh England bagi menamatkan penantian kejuaraan yang kali terakhir dimenangi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.

"Kami sememangnya berharap untuk menjuarai kejohanan ini suatu hari nanti.

"Kami perlu berterima kasih kepada barisan kejurulatihan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Petaling Jaya BC kerana banyak memberikan sokongan selama ini," kata Aaron.

"Kejuaraan dalam Kejohanan Seluruh England amat bermakna buat kami, namun kami masih muda dan perlu berkembang dalam setiap langkah.

"Selepas ini, kami akan menumpukan kepada pemburuan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," tambah Wooi Yik.

Advertisement

Must Watch Video