Skip to main content

Badminton

Ini senarai beregu lelaki negara pernah dinobat nombor satu dunia!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

vshem.jpg
Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, kini merupakan antara lapan wakil beregu lelaki negara yang pernah menduduki dalam senarai pemain nombor satu dunia!

Ini senarai pemain yang turut pernah berada di nombor satu dunia:

Adik-beradik Sidek catat sejarah, Razif Sidek-Jalani Sidek (1989)
Pada tahun 1989, Razif dan Jalani Sidek menjadi pasangan beregu lelaki pertama Malaysia menduduki ranking nombor satu dunia. Mereka meraih gangsa Kejohanan Dunia serta menjuarai Kejohanan Grand Prix Dunia, Terbuka Hong Kong dan Terbuka China, selain naib juara di beberapa kejohanan utama yang lain.

Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (1992)
Tiga tahun selepas kejayaan adik-beradik Sidek, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang muncul sebagai pasangan nombor satu dunia pada 1992. Mereka menjuarai Piala Thomas, Piala Dunia, Terbuka Malaysia serta Terbuka Chinese Taipei serta naib juara Grand Prix Dunia.

Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock ungguli era 90-an (1996)
Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock munncul antara gandingan terbaik era 1990-an dengan pencapaian pingat perak Olimpik 1996, gangsa Piala Dunia, juara Terbuka Malaysia serta menduduki tempat kedua di Terbuka All England, Terbuka AS, Terbuka Hong Kong dan Grand Prix Dunia pusingan akhir.

Chan Chong Ming-Chew Choon Eng cemerlang (2002)
Pada tahun 2002, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng menyerlah dengan membawa Malaysia ke final Piala Thomas,  meraih emas Sukan Komanwel dan tiga gangsa Sukan Asia. Mereka juga turut menjuarai Terbuka Jepun dan naib juara Terbuka Denmark serta Terbuka China.

Choong Tan Fook-Lee Wan Wah gandingan unggul (2004)
Gandingan mantap dari Perak yang mengungguli tahun 2004, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menempah nama sebagai pasangan nombor satu dunia. Mereka memenangi Terbuka Malaysia dan muncul naib juara di All England, Terbuka  China dan China Masters, sekali gus membawa mereka ke puncak ranking dunia 2004.

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dominasi arena dunia (2007)
Tahun 2007 menyaksikan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong antara gandingan paling berbakat dan digeruni di gelanggang badminton dunia. Mereka  bukan sahaja mara ke final Kejohanan Asia malah mendominasi siri BWF Superseries dengan menjuarai Terbuka Malaysia, All England, Terbuka Switzerland serta Terbuka Denmark. Rentetan kejayaan itu membawa mereka ke puncak ranking dunia pada Oktober 2007, sekali gus mengukuhkan nama Malaysia di persada badminton antarabangsa.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong (2016)
Tahun 2016 menyaksikan kebangkitan semula beregu lelaki negara menerusi gandingan dinamik Goh V Shem-Tan Wee Kiong. Aksi bertenaga mereka membawa Malaysia ke final Olimpik Rio 2016 dan hampir merangkul emas. Mereka turut menjulang kejuaraan di Terbuka Denmark, Syed Modi dan Siri Super Dunia. Dengan pencapaian gemilang itu membawa mereka ke ranking nombor satu dunia dan sekali gus mengukir nama dalam sejarah pada November 2016.
 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video