Skip to main content

Badminton

Gold Coast 2018: Badminton masih lubuk emas Malaysia

lee-chong-wei-30318.jpg
Badminton kekal menjadi taruhan kontinjen negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast dalam membantu mencapai sasaran minimum tujuh pingat emas. 

Diketuai Datuk Lee Chong Wei, skuad ini menimbulkan tanda tanya mengenai keupayaan mereka atau mereka akan tunduk kepada tuntutan tekanan. 

Sejak mula dipertandingkan dalam Sukan Komanwel bermula pada edisi Kingston 1966, badminton Malaysia tidak pernah mengecewakan. 

Statistik terkumpul menyaksikan skuad negara merupakan negara kedua terbaik di belakang England menerusi keseluruhan 27 emas, 20 perak dan 12 gangsa. 

Begitupun, Malaysia berdepan tugas semakin mencabar berikutan peningkatan mendadak negara seperti India. 

Temasya Glasgow 2014 menyaksikan Malaysia hanya pulang dengan enam emas, kurang satu daripada tujuh yang disasarkan. 

Bagaimanapun, badminton terlepas daripada kritikan hebat susulan pencapaian membawa pulang tiga emas menerusi berpasukan campuran dan dua lagi menerusi beregu lelaki dan wanita. 

"Kesemua pemain kita berpotensi untuk mendapatkan pingat, tidak kisah emas, perak atau gangsa. 

"Kalau melihat kepada keutamaan, tentu sahaja ia terarah kepada beregu campuran, beregu lelaki dan beregu wanita. 

"Namun, kita juga beranggapan bahawa Datuk Lee Chong Wei yang menduduki ranking paling tinggi dalam kalangan pemain di Gold Coast akan merealisasikan impian kita untuk mendapatkan emas," ujar Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria. 

Gold Coast 2018 menyaksikan Malaysia menghantar pasukan yang wajar disifatkan sebagai terbaik. 

Untuk edisi kali, BAM menetapkan tiga emas selain mempunyai sebab untuk tidak meletakkan tekanan kepada Chong Wei. 

"Apa yang penting adalah fokus. Pertama, kami perlu beraksi dalam acara berpasukan. 

"Diharapkan kami boleh mendapatkan emas pertama dalam acara berpasukan. 

"Kami sedar India dan England juga adalah pasukan yang kuat. Kini kami hanya perlu memberi perhatian terhadap persiapan," kata Chong Wei.
 

Advertisement

Must Watch Video