Cerita berbeza, tetapi yang penting dua wakil negara, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven berjaya meloloskan diri ke saingan suku akhir Badminton Masters Korea Selatan esok.

Berbezanya kerana Jun Hao tidak perlu mengerah keringat beria di saingan 16 terbaik sebab lawannya yang juga pemain Finland, Kalle Koljonen pantas mengibar bendera putih ketika aksi memasuki set kedua gara-gara kecederaan.

Set pertama berlangsung dengan Koljonen tetap cuba menghadirkan cabaran buat Jun Hao sebelum aksi berakhir dengan kemenangan memihak pemain kelahiran Setapak, Kuala Lumpur ini 21-16.

Namun ketika Jun Hao mendahului 3-0, Koljonen bingkas tarik diri sekaligus menyaksikan Jun Hao bakal bertemu pemain China, Lei Lan Xi di suku akhir.

Sementara buat Joo Ven, dia dipaksa bekerja keras oleh wakil tuan rumah, Jeon Hyeok Jin sebelum berjaya mengiringi langkah Jun Hao ke suku akhir.

Joo Ven tewas set pertama 7-21, sebelum bangkit perkemas aksi untuk pastikan aksi diheret ke set penentuan menerusi kemenangan 21-14 dan bakal bertemu sama ada wakil Jerman, Kai Schaefer ataupun bekas juara dunia, Kento Momota.