Skip to main content

Badminton

Badminton Sukan Asia Hangzhou: Pencapaian satu gangsa tetap lebih baik daripada edisi lalu

rexy-chong-wei.jpg
Kejayaan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, meraih pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 tetap dianggap sesuatu yang positif biarpun gandingan negara itu gagal ke final apabila tewas 17-21, 12-21 kepada wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Shirag Chetty, dalam aksi separuh akhir di Gimnasium Binjiang semalam.

Ini kerana kejayaan satu pingat itu setidak-tidaknya memperbaiki pencapaian tanpa pingat dalam edisi di Jakarta-Palembang pada 2018.

Melihat kepada kegagalan Aaron dan Wooi Yik layak ke pentas final dalam penampilan pertama mereka, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, akur lawan dari India itu memiliki persiapan lebih rapi dan sudah dapat membaca corak permainan Aaron dan Wooi Yik sehingga mereka tewas buat kali kedua berturut-turut.

"Sudah pasti penyokong meletakkan harapan yang tinggi terhadap prestasi Aaron dan Wooi Yik dan saya rasa mereka sendiri tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan hari ini (semalam)," katanya kepada wartawan Astro Arena, Farihah Razak.

"Smash yang dilakukan kedua-dua mereka hari ini tidak lepas dan itulah yang menyebabkan keyakinan mereka sedikit goyah.

"Mereka terlalu mahukan permainan yang  sempurna sehingga persembahan mereka menjadi tidak konsisten," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video