BADMINTON
Badminton: Prestasi hambar jelajah Eropah tidak semestinya kelemahan mental
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, menegaskan kem badminton negara perlu mendapatkan bantuan berterusan daripada pakar psikologi sukan bagi memastikan pemain dapat mengawal emosi sambil mengekalkan prestasi terbaik ketika beraksi di atas gelanggang.
Ia merujuk kepada aksi hambar skuad negara dalam Kejohanan Seluruh England dan Terbuka Switzerland kebelakangan ini.
Bagaimanapun, Ramlan menyifatkan faktor lain seperti kecederaan, perubahan corak dan intensiti latihan turut menyumbang kepada prestasi pemain negara.
Iklan
"Sudah pasti aspek persediaan mental amat penting, namun kadang-kadang kita terlepas pandang bahawa ada banyak lagi aspek yang perlu dipertingkatkan.
"Kalau sekali imbas keputusan pertandingan, kita tengok atlet seolah-olah kekurangan kekuatan mental.
"Namun, mungkin ada masalah lain seperti kecederaan dan program kesesuaian fizikal yang tidak lengkap," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Bagi menyelesaikan kemelut ini, dia percaya jurulatih dan pemain perlu mengadakan sesi perbincangan dari hati ke hati bagi memastikan tumpuan pemain terarah kepada permainan dan tidak terganggu dengan faktor sekeliling.
"Yang paling penting adalah jurulatih dan pemain itu sendiri.
"KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan berikan sokongan yang wajar. akhirnya jurulatih dan atlet harus duduk untuk mengkaji apakah faktor kekuatan dan kelamahan yang perlu dipertingkatkan supaya atlet dapat melonjak ke prestasi yang lebih tinggi," katanya.
Must-Watch Video