Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) hari ini mendapati pemain badminton beregu campuran negara, Pearly Tan, tidak mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Berdasarkan laporan Nadi Arena, Pearly hanya mengalami kecederaan hamstring dan tendon lutut kiri, yang memaksanya dan pasangannya, M. Thinaah, menarik diri dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun minggu lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu, bagaimanapun, dinasihatkan untuk berehat selama empat hingga enam minggu bagi menjalani proses pemulihan, sekali gus kelihatan akan terlepas Kejohanan Terbuka Denmark dan Perancis bulan depan.

Dalam satu temu bual Astro Arena, Pakar Perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Jasmiza Khuzairi, berkata: "Daripada pemeriksaan saya dan MRI, kami merumuskan bahawa, Insya-Allah tiada kecederaan yang serius, terutama melibatkan ACL.

"Dan meniskus juga Alhamdulillah baik tetapi kami akan memantaunya dalam waktu terdekat ini.

"Setakat ini, ia nampak positif dan tiada kecederaan serius.

"Cuma besar kemungkinan ada kecederaan otot di bahagian hamstring jadi kami akan memantaunya.

"Rawatan sepanjang dua minggu pertama amat penting dan dalam tempoh itu kami perlu melakukan rawatan awal," katanya.