BADMINTON
Badminton Berpasukan Campuran Asia: Jun Hao cuma perlukan rentak -- Choong Hann
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, percaya keputusan untuk menyenaraikan nama Leong Jun Hao bagi membawa cabaran negara dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Asia merupakan langkah yang tepat.
Jun Hao memulakan musim 2023 dengan penampilan pertama dalam Masters Thailand minggu ini tetapi terkandas dalam pusingan awal.
Bagaimanapun, Choong Hann tetap yakin akan kebolehan dan prestasi sebenar juara Masters Indonesia 2022 itu.
Iklan
"Kami memang tidak berpuas hati dengan tahap persembahan dalam Masters Thailand.
"Tapi kami percaya dengan asas kekuatan mentalnya, dia hanya perlu mencari rentak sahaja untuk segera menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan supaya dia mampu menjelmakan kemampuan 100 peratus," katanya di (Akademi Badminton Malaysia ABM), Bukit Kiara.
Langkah itu turut memberi ruang buat Ng Tze Yong untuk fokus dalam mempertingkatkan kemampuan diri, malah turut membuka peluang buat pemain lain dan secara tidak langsung dapat melahirkan lebih ramai sandaran negara untuk menghadapi saingan kompetitif.
"Kami menaruh kepercayaan hampir 80-90 peratus terhadap keupayaan pasukan.
"Dengan ada Zii Jia dan Jun Hao, mereka mampu menggalas tanggungjawab untuk menyumbang mata.
"Walaupun permainan Tze Yong dianggap lebih stabil tapi kami juga harus memberi peluang kepada pemain seterusnya.
"Kami tidak mahu sekadar menyandarkan harapan kepada pemain tertentu sahaja.
"Ia demi perancangan lebih seimbang," katanya.
Sementara itu, Choong Hann juga berkongsi mengenai perkembangan barisan pemain perseorangan wanita di bawah naungan BAM.
"Walaupun belum nampak persembahan yang menonjol tapi berdasarkan sistem latihan yang sistematik, mereka akan membina nama mereka pada masa akan datang.
"Cuma ia mungkin mengambil masa yang lebih lama," katanya.
Must-Watch Video