Jurulatih Kuala Lumpur (KL) Thunder, Rosli Rahman, berasakan melatih pasukan KL Thunder merupakan satu risiko yang diambilnya dalam misi untuk membawa pasukan itu muncul juara mahupun sebaliknya.

Walaupun sudah lapan tahun tidak berkecimpung dalam sukan sepak takraw, dia berasakan sokongan pemain serta keserasian antara pemain menjadi kunci utama pasukan mereka.

Rosli tidak menolak perkhabaran bahawa bakal ada senjata rahsia yang akan digunakan dalam GP Terengganu nanti.

"Sudah lapan tahun saya tidak berkecimpung dalam sukan sepak takraw, kali ini saya terima panggilan dan ambil risiko besar untuk membawa pasukan KL Thunder jadi juara mahupun sebaliknya.





"Saya sentiasa berpesan agar jangan terlalu yakin walaupun mereka sudah biasa, saya bangga kerana mereka dengar motivasi saya dan buktikan ketika dalam latihan dan perlawanan sebenar.

"Dengan sokongan mereka jugas saya masuk KL Thunder, keserasian saya dan mereka tidak pernah hilang.

"Kami ada dua tekong lagi, jadi persatuan galakkan saya guna mereka. Jadi jika Syahir cedera kita mempunyai pengganti."

Dalam pada itu, tekong KL Thunder, Syahir Rosdi, berkongsikan rahsia disebalik menundukkan pasukan Perak Bison dalam aksi final Grand Prix Selangor, Emas Anuar Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) di Stadium Malawati, semalam.

Dia tidak menafikan keserasian antara pemain bersama jurulatih menjadi elemen penting yang memacu mereka untuk muncul juara GP Selangor.





"Ini permulaan baik untuk KL Thunder, semua pasukan seimbang. Dengan format baru kita tidak dapat jangka pasukan mana yang lebih baik dalam gelanggang.

"Kami ada pemain yang berkualiti, semangat itu datang daripada sentuhan jurulatih yang merupakan legenda sepak takraw, kami dapat belajar banyak. Kami berharap dapat kekalkan momentum ini hingga penghujung.

"Sebelum ini Perak memang ada kelebihan dan kelemahan jadi sebelum perlawanan kami telah kaji terlebih dahulu. Kita perlu pastikan mata kita lebih tinggi jika berhadapan mereka dalam perlawanan kedua semalam.