STL
Aswadi akui terima tawaran PSM
Jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, mengakui ada menerima tawaran daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menyertai senarai jurulatih skuad lelaki kebangsaan.
Aswadi bagaimanapun belum memberikan sebarang kata putus kerana perlu berbincang terlebih dahulu dengan majikannya, Angkatan Tentera Malaysia.
Aswadi yang mula bimbing skuad sepak takraw ATM sejak 2015 muncul antara nama yang dikaitkan bakal menyertai kem kejurulatihan skuad kebangsaan yang diketuai Ahmad Jais Baharun.
Iklan
Pengendali berusia 43 tahun itu menganggap satu penghormatan apabila khidmatnya ditagih di peringkat kebangsaan.
Beliau dalam perkembangan sama turut mengakui tugas serta tanggungjawab berat menantinya dalam usaha mengembalikan maruah negara sebagai kuasa besar sukan sepak takraw dunia.
Untuk rekod, Aswadi pernah mencipta sejarah bersama ATM Guardians apabila muncul juara STL 2022 di samping muncul naib juara Piala Emas Khir Johari edisi ke-56 Disember lalu.
"Memang benar saya telah menerima tawaran daripada pihak PSM, namun ia masih di peringkat awal dan menunggu secara rasmi tawaran ini," kata Aswadi.
"Saya telah bersama ATM selama 10 tahun, mungkin ini adalah peluang terbaik untuk menghadapi satu cabaran baru."
Must-Watch Video