Skip to main content

Rencana

Zidane – pemain terhebat kepada jurulatih terbilang

zidane-040617_2.jpg
“Duodecima” (kali ke-12 Real Madrid bergelar juara saingan kelab elit Eropah) akan sentiasa dikaitkan dengan Zinedine Zidane.

Dalam masa hanya satu setengah musim, Zidane telah mengukir sejarah dengan menjadi jurulatih pertama untuk mempertahankan trofi Liga Juara-Juara, Kesatuan Bolasepak Eropah (UCL).

Pencapaiannya itu harus lebih menakjubkan jika diambil kira ini baru musim penuh pertamanya bertanggungjawab ke atas sebuah kelab senior.

Dari 9 Januari 2016 hingga 3 Jun 2017, jurulatih berbangsa Perancis itu telah memenangi dua trofi Liga Juara-Juara, satu kejuaraan LaLiga, satu Piala Super UEFA dan satu Piala Dunia Kelab, dengan melonjakkan Los Blancos di mercu bola sepak dunia.

Dalam laluan itu, Zidane telah mencipta stailnya sendiri dan telah melaksanakan sistem penggiliran pemain dengan cemerlang untuk membuat setiap pemain dalam pasukan berasa terbabit sama dan sentiasa bersiap sedia.

Anehnya, seperti dikongsi Zidane buat kali pertama dengan pembaca, rahsianya ialah sentiasa membuatkan pemain-pemain berasa sakit hati terhadapnya.

Pendekatannya sudah pun mendapat pujian dan pengurusan individunya terhadap sebuah pasukan yang paling sarat dengan bintang-bintang ternama, membuatkannya dibandingkan dengan antara jurulatih terhebat dalam permainan ini.

Tanpa sebarang keraguan, pencapaian terhebat Zidane setakat ini ialah cara dia mengurus Cristiano Ronaldo, yang digilirkannya apabila perlu untuk memastikan pemain berjersi no. 7 itu sentiasa cergas sepenuhnya untuk detik-detik terpenting.
 
Dengan mengesahkan kejuaraan ketiga Real Madrid dalam Liga Juara-Juara dalam tempoh empat musim, dan menjadikan Los Blancos pasukan pertama untuk menjuarai kejohanan kelab elit Eropah itu dua tahun berturut-turut, Zidane sebenarnya menyertai satu senarai eksklusif 20 jurulatih yang telah memenangi dua trofi Piala Eropah atau Liga Juara-Juara.

Terhimpun dalam kelompok nama-nama terhebat dalam pengurusan bola sepak – daripada Jose Mourinho, Pep Guardiola dan Carlo Ancelotti dalam beberapa tahun kebelakangan hinggalah kepada Bela Guttman pada era 60-an – pencapaian Zidane sejauh ini tidak langsung boleh diperkecilkan.

Sejurus menjulang trofi Liga Juara-Juara di Stadium Millenium, Cardiff awal pagi tadi, Zidane berkongsi sedikit resipi kejayaannya.

“Semua orang di dalam skuad ini berasa diri mereka penting, namun mereka menjalin hubungan baik antara satu sama lain. Mereka mempunyai hubung kait dan apabila anda mencapai sesuatu, ia lebih mudah.

“Tapi, mengatasi segala-galanya, kuncinya ialah semua pemain berasa sakit hati – ia satu komponen penting dalam kejayaan,” katanya seperti dipetik oleh akhbar sukan Sepanyol, Marca.

Kejayaan terbaru ini, bagaimanapun, tidak memesongkan tumpuan Zidane terhadap tugas lebih berat yang menantinya dan pasukannya musim depan.

“Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ketika ini ialah banyaknya lagi kerja yang perlu dilakukan. Jika anda fikir anda boleh mencapai sesuatu dengan bekerja kuat, maka anda boleh melakukannya.

“Saya berasa bangga dengan pemain-pemain yang saya ada. Setiap seorang telah menyumbangkan sesuatu kepada pasukan dan itu sesuatu yang tiada sesiapa boleh ubah dan sebab di sebalik kejayaan kami.”

Zidane… daripada pemain terhebat pada eranya, kini jurulatih terhebat pada era lain yang baru bermula.

Statistik Opta:

* Real Madrid telah memenangi enam final terakhir mereka di peringkat Eropah, kali terakhir tewas pada 1981 kepada Liverpool.

* Mario Mandzukic (Bayern Munich, Juventus) adalah pemain ketiga menyumbat gol untuk dua pasukan berbeza dalam final Piala Eropah/Liga Juara-Juara selepas Velibor Vasovic (Partizan Belgrade, Ajax) dan Cristiano Ronaldo (Man Utd, Real Madrid).

* Ronaldo telah menjaringkan dua kali ganda jumlah gol dalam Liga Juara-Juara mengatasi mana-mana pemain lain di peringkat suku akhir (20), separuh akhir (13) dan final (4).

* Ronaldo telah membuat penampilan kelimanya dalam final Piala Eropah/Liga Juara-Juara – hanya Paolo Maldini, Paco Gento (8) dan Alfredo Di Stefano (7) mengatasinya.

* Juan Cuadrado adalah pemain ketiga dibuang padang dalam final Liga Juara-Juara, selepas Jens Lehmann (2006) dan Didier Drogba (2008).

* Gianluigi Buffon (39 tahun 126 hari) adalah pemain ketiga tertua tampil dalam final Liga Juara-Juara selepas Dino Zoff dan Edwin van der Sar.

* Juventus (4) bolos lebih banyak gol dalam satu perlawanan akhir ini berbanding di sepanjang kempen kejohanan ini musim ini (3).
 

Advertisement

Must Watch Video