Skip to main content

Rencana

Zaquan kena lagi

zaquan-adha_1.jpg
Baru sahaja melepasi 10 tahun yang memeritkan buat pemain berjiwa besar, Zaquan Adha Abdul Radzak, dan kini dugaan yang sama kembali menghantui perkembangan kariernya.

Jelas sekali nama Zaquan konsisten berada dalam radar ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, selepas penampilan di Lubnan dalam saingan kelayakan Piala Asia Mac lalu.

Namun, kondisi Zaquan yang terkini membuatkan pemain itu terpaksa menafikan kelibatnya bersama skuad negara buat kali kedua tahun ini selepas melewati kecederaan serius yang mengambil masa untuk pulih sekurang kurangnya dua bulan dari sekarang.

"Dia seorang pemain yang bagus tetapi saya tidak fikir ini masa yang terbaik untuk Zaquan kembali menyarung jersi negara kerana dia baru sahaja selesai menjalani pembedahan tangannya yang mengalami keretakan."

Itu reaksi jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, yang menjelaskan kondisi sebenar anak buahnya ketika ini.

Lebih menghampakan, keadaan Zaquan turut menafikan gandingan bersama kembarnya iaitu Aidil Zafuan Abdul Radzak sejak kali terakhir di lihat bersama dalam skuad kebangsaan ketika saingan Sukan Sea 2009 di Laos selain beberapa siri persahabatan era kejurulatihan Datuk K Rajagobal.

"Nasib saya bersama skuad negara sering tidak menyebelahi saya, saya harap satu masa nanti keadaan ini akan berakhir."

Ini antara kata-kata yang pernah diluahkan Zaquan sebaik namanya berjaya memancing perhatian Cheng Hoe Mac lalu.

Buat Zaquan, semoga segera pulih & terus kekal dalam senarai utama skuad negara bagi memenuhi debut kali pertama Zaquan dalam saingan Piala AFF.
 

Advertisement

Must Watch Video