Skip to main content

Rencana

Wenger mahu Bayern, Mourinho mahu Arsenal

wenger-mou.jpg
Dua pengendali hebat yang kini sedang berehat daripada melatih pasukan, Arsene Wenger dan Jose Mourinho, mula mengorak langkah dan berkira-kira mahu mendapatkan pasukan baru untuk dibimbing. 

Wenger, yang telah berehat lama selepas bersara dari membimbing Arsenal, dikhabarkan menghubungi pihak pengurusan Bayern Munich selepas jurulatihnya, Niko Kovac, dipecat serta-merta selepas dibelasah Eintracht Frankfurt 5-1. Bayern Munich kini menduduki tangga keempat liga, satu kedudukan yang tidak boleh diterima oleh pihak pengurusan kelab itu.

Bagaimanapun, laporan media antarabangsa melaporkan khidmat Wenger tidak diperlukan memandangkan mereka lebih tertarik kepada Thomas Tuchel, yang kini bersama Paris Saint Germain (PSG), dan Erik Ten Hag, yang merupakan jurulatih Ajax. Pasukan Bayern kini dibimbing penolong jurulatih, Hansi Flick, buat sementara waktu sebelum jurulatih utama dilantik.

Dalam masa sama, seorang lagi jurulatih berprofil tinggi yang masih tiada pasukan untuk dibimbing, Mourinho, dikhabarkan semakin hampir menyertai kelab London, Arsenal.  Ia susulan prestasi terumbang-ambing The Gunners dibawah bimbingan Unai Emery yang mendapat kritikan banyak pihak.

Khabar angin semakin bertiup kencang mengenai kedudukan Emery selepas ada pihak media yang melihat Mourinho sudah melakukan perbincangan dengan pihak pengurusan Arsenal di London biarpun perkara itu dinafikan pihak Arsenal.

Terbaru, The Gunners sekadar seri 1-1 dalam saingan Liga Europa berdepan kelab kerdil, Victoria SC, satu keputusan yang menambahkan lagi tekanan pengendali berusia 48 tahun itu. Ada yang mengatakan perlawanan berdepan Leicester City hujung minggu ni merupakan penentu kedudukan jawatan Emery. 

Namun, selain Mourinho, ada beberapa nama lagi dikhabarkan bakal menjadi pilihan, antaranya Jorge Sampaoli, Julen Lopetegui, Massimiliano Allegri dan Mikel Arteta.

Siapa pun pengendali pilihan Bayern Munich dan Arsenal nanti, diharapkan individu yang dipilih mampu mengembalikan kelab berkenaan ke prestasi sebenar dan kembali bersaing seperti biasa.

Advertisement

Must Watch Video