RENCANA
Vietnam bukan 'biase-biase'
Kecederaan yang dialami Evan Dimas dalam separuh masa pertama memusnahkan harapan Indonesia untuk memberi saingan kepada Vietnam dalam merebut pingat emas Sukan SEA 2019.
Ketiadaan Evan itu mengakibatkan jentera tengah Indonesia agak tengelam kerana tiada seorang pemain tengah Indonesia yang berjaya memainkan peranan sebagaimana Evan yang kreatif dan mampu melakukan pelbagai corak serangan serta hantaran-hantaran pemusnah.
Peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh anak-anak didik Park Hang-seo itu untuk mencorak serangan secara tersusun walaupun pada awal permainan, Indonesia berjaya mengawal permainan. Dengan pengalaman dimiliki Do Hung Dong dan Nguyen Hoang Duc, akhirnya Vietnam mendahului melalui jaringan tadungan Doan Van Hau daripada sepakan percuma yang diambil Nguyen Thanh Chung sehingga tamat separuh masa pertama.
Iklan
Indonesia cuba bangkit dalam separuh masa kedua untuk mencari jaringan penyamaan namun anak-anak didik Indra Sjafri masih tidak mampu menembusi benteng Vietnam yang dikemudi Huynh Tan Sinh. Dengan kemasukan Egy Maulana oleh Indra Sjafri untuk bergandingan bersama Saddil Ramdani dan Osvaldo Haay di bahagian serangan, ia masih lagi tidak berjaya.
Ketenangan dan pemahaman taktikal pemain-pemain Vietnam itu memberi kelebihan serta kekuatan kepada mereka untuk terus mengekang Indonesia.
Dalam keghairahan Indonesia menyerang, Vietnam mengambil kesempatan dengan serangan balas yang dilakukan dan akhirnya mendapatkan jaringan ke dua melalui Do Hung Dong.
Jaringan itu terus memberi kekuatan kepada Vietnam untuk terus menekan Indonesia dan sekali lagi, pemain-pemain Vietnam mengunakan kelebihan ketinggian fizikal mereka untuk mendapatkan jaringan ke tiga sekali lagi melalui Van Hau daripada sepakan percuma.
Dua gol jaringan Van Hau itu telah menjulang Vietnam mengutip pingat emas buat kali pertama dalam temasya Sukan SEA.
Must-Watch Video