Skip to main content

Rencana

United terus kecundang di meja rundingan

utd-cover-pix.jpg
Manchester United nampaknya bakal kempunan dalam usaha mereka untuk mendapatkan khidmat pemain bintang dari Borussia Dortmund, Jadon Sancho, musim ini.

Menurut akhbar The Guardian, United memutuskan untuk melupakan sahaja hasrat mereka setelah mengetahui mereka perlu membayar hampir €250 juta (RM1.2 bilion) untuk pemain berusia 20 tahun itu.

Ini juga bukanlah kali pertama faktor kewangan memaksa mereka untuk bertindak begini. Mereka juga terpaksa melepaskan peluang menandatangani penyerang Norway, Erling Braut Haaland, gara-gara perlu membayar sejumlah wang yang besar kepada ejen pemain tersebut, Mino Raiola.

Kegagalan sedemikian nampaknya menaikkan kemarahan bekas pemain legenda kelab itu, Gary Neville.

Laman sesawang goal.com memetik Neville sebagai berkata, “Saya rasa United tidak cukup pintar dalam hal pembelian pemain jika dibandingkan dengan kelab-kelab lain.

“Liverpool mengumumkan pembelian Diogo Jota dan Thiago Alcantara pada harga yang berpatutan, Manchester City pula melaburkan sejumlah wang yang banyak dan berjaya mendapatkan pemain yang mereka mahukan, tetapi United pula gagal.

“Dalam hal-ehwal perpindahan pemain, mereka ditewaskan teruk oleh kelab-kelab lain. Biarpun mereka mempunyai seorang jurulatih yang baik, mereka tidak akan memenangi liga tanpa bantuan pemain yang diperlukan.”

Menurut laman ESPN pula, tiga pemain yang berjaya ditandatangani oleh Ole Gunnar Solksjaer musim ini, Donny Van De Beek, Alex Telles dan Edinson Cavani, sebenarnya bukanlah pemain yang dia mahukan pun!

Jurulatih berusia 47 tahun itu telah menetapkan Jadon Sancho sebagai sasaran utamanya musim ini, diikuti oleh Jack Grealish dari Aston Villa dan Dayot Upamecano dari RB Leipzig tetapi sekarang semuanya tinggal harapan sahaja.

Untuk musim ini, posisi yang dianggap paling lemah dalam pasukan United adalah pertahanan tengah. Ini tidak menghairankan kerana gawang United sudah pun dibolosi sebanyak 11 kali setakat ini, enam daripadanya datang sewaktu kekalahan memalukan di tangan Tottenham, Ahad lalu.




Solksjaer meletakkan Upamecano sebagai sandarannya untuk memulihkan kelemahan pertahanan tetapi peluangnya untuk mendapatkan pemain ini nampaknya sudah tidak begitu cerah kerana Liverpool juga sudah mula menunjukkan minat untuk turut sama merebut khidmat pemain warganegara Perancis itu. 

Menyebut tentang Cavani pula, jejak langkah siapakah yang bakal diikuti oleh ‘kuda tua’ ini?

Adakah dia mampu menyaingi Zlatan Ibrahimovic yang menjaringkan 28 gol untuk United biarpun pada usia senja?

Ataupun adakah dia bakal berkesudahan seperti Radamel Falcao yang dibelenggu oleh masalah kecederaan berpanjangan dan akhirnya mampu menjaringkan 4 gol sahaja dalam 29 penampilan?

United berazam untuk mengembalikan kegemilangan mereka musim ini, tetapi nampaknya hasil daripada jendela perpindahan kali ini tidak begitu memberangsangkan buat peminat, dan United haruslah membuktikan bahawa pemain sedia ada lebih daripada mampu untuk menggalas misi mereka.

Masih teringat akan kata-kata pemain legenda United, Paul Scholes, sewaktu mereka gagal mendapatkan khidmat Ronaldinho 17 tahun lalu, “Pihak kelab sudah bersedia untuk mengumumkan ketibaannya, nombor pemain pun sudah siap, tetapi pada saat terakhir dia ubah fikiran dan pergi ke Barcelona pula! 

“Tiga hari kemudian, kami menentang dia dan kelab barunya dalam perlawanan persahabatan, kami semua cuba nak tendang dia sebab kami geram!”



 

Advertisement

Must Watch Video