Skip to main content

Rencana

United terus buat ramai meroyan

meroyan_1.jpg
Baru empat perlawanan di bawah pengendalian Ole Gunnar Solskjaer, yang kesemuanya dimenangi Manchester United, rupa-rupanya ramai yang meroyan.

Sahlah United barangkali adalah satu-satunya pasukan yang akan mengundang kritikan, baik ketika menang, apatah lagi sewaktu dilanda kekalahan.

The Red Devils, pasukan paling berjaya dalam kancah bola sepak Inggeris daripada era Divisyen Satu hinggalah ke Liga Perdana dengan 20 kejuaraan liga, sudah sebati bersamanya stigma kegagalan dan aura kejayaan.

Selaku pemilik kepada ‘keunikan’ ini, ia sentiasa menjadi pasukan dicemburui dan pada masa yang sama turut dibenci.

Ketika pasukan jiran terdekat dan seteru paling rapat, Manchester City, mengalami tiga kekalahan sebelumnya sebagai penamat kepada rentetan tanpa kalah, mereka tidak pula menerima ‘layanan’ serupa di sebalik statusnya selaku juara bertahan.

Mungkin hanya Liverpool yang boleh dibuat perbandingan sebagai satu-satunya pasukan lain – di sebalik kejuaraan liga terakhirnya ialah 29 tahun lalu -- yang sering mendapat cercaan serta tohmahan dan hanya sesekali menerima pujian.

Sewaktu dengan barisan pembenci, pengurus pasukan Liga Kejuaraan, Reading, Jose Gomes, pula tampil dengan kenyataan yang terang-terang menolak impak positif yang dibawa Solskjaer, dengan mendakwa kehadiran pengurus sementara United itu tidak memberi kesan kepada kualiti pasukan berkenaan.

Dia ni meroyan atau iri hati atau kedua-duanya sekali?

Namun, pendirian Gomes, 48, rakan senegara bekas pengurus dari Portugal, Jose Mourinho, bukannya tidak beralasan di sebalik komennya bahawa United masih mampu menang perlawanan sekalipun tanpa pengurus.

Berpengalaman selama 20 tahun sebagai sebahagian staf kejurulatihan Mourinho di pelbagai kelab, Gomes, meniupkan semboyan perang psikologi itu menjelang kunjungan Reading ke Old Trafford esok untuk pertemuan pusingan ketiga Piala FA.



Seolah-olah enggan mengiktiraf Solskjaer, Gomes sebaliknya merakamkan sanjungan buat Mourinho dengan mengungkapkan: “Mourinho adalah salah seorang jurulatih terhebat dalam sejarah bola sepak. Dia memenangi gelaran di semua negara yang dia pernah bekerja dan saya sangat menghormatinya.”

Kalau bersimpati dengan Mourinho sekalipun, usahlah semangat baru yang dicetuskan Solskjaer akhir-akhir ini pula hendak dipertikaikan di sebalik kemenangan ke atas Cardiff City 5-0, Huddersfield 3-1, Bournemouth 4-1 dan Newcastle 2-0 kesemuanya adalah pasukan yang tergolong dalam kelompok 10 terbawah.
 
Apatah pula, Reading yang baru dikendalikan Gomes dalam tiga perlawanan lalu dengan dua kekalahan dan satu seri, kini kekal selaku calon relegasi – hanya setakuk di atas Ipswich Town, di tangga ke-23.

Tapi biasalah, memperkecil dan merendah-rendahkan United akan dianggap “hipster”. (Mengikut kamus DBP: orang yang unik dan kreatif kerana tidak mengikut kelaziman tetapi moden dan mengikut perkembangan terkini)

Advertisement

Must Watch Video