Skip to main content

Rencana

United: Masihkah ada sinar?

mu-wat.jpg
Manchester United harus bertanyakan diri mereka sendiri apakah keadaan ketika ini yang mahu dijadikan wawasan masa depan mereka?

Kemenangan terdahulu ke atas Manchester City dan Tottenham meluangkan Ole Gunnar Solskjaer sedikit ruang bernafas tetapi masih terlalu banyak pihak yang akan terus menghakimi jenama bola sepak yang dibawanya.

Akhbar The Independent dalam analisisnya menyimpulkan lambat-laun satu keputusan akan perlu dibuat terhadap hala tuju The Red Devils sebelum ia ternyata sudah terlambat.

Andai masih boleh diterima ini adalah musim kebangkitan United, persoalan yang berbangkit ialah sama ada rejim yang ada ini boleh mewakili masa depan kelab berkenaan.

Harus tiada sesiapa yang terperanjat dengan kekalahan terbaru 0-2 kepada Watford semalam – mereka bukannya tidak pernah kalah kepada pasukan bawahan itu.

Dalam pada itu, kemenangan ke atas Tottenham Hotspur (2-1, 5 Disember lalu) dan Manchester City (2-1 pada 8 Disember) tertonjol sebagai sesuatu yang positif tapi ia juga bukan tanda-tanda peningkatan yang diharapkan ramai, sebaliknya sekadar mendedahkan masalah utama mereka.

Falsafah Solskjaer berpaksikan serangan balas sambil mengharapkan tuah tapi ia tidak akan menghasilkan apa-apa andai lawan menutup ruang terhadap mereka.

Malangnya, itulah juga pendekatan mana-mana pasukan lawan yang menghadapi United yang kerap terkapai-kapai angkaranya.

Masalah United ialah mereka tidak menguasai perlawanan. Mereka tidak mengenakan penguasaan ke atas lawan. Lebih daripada itu, mereka tidak tahu untuk berbuat apa-apa apabila diberikan bola.

United baru memenangi hanya enam perlawanan musim ini – hanya sepertiga daripada aksi mereka.

Empat daripada kemenangan itu adalah ke atas pasukan dalam kelompok enam teratas ketika ini dan The Red Devils adalah satu-satunya pasukan yang dapat meraih mata daripada Liverpool.

Dalam pada itu, empat daripada lima kekalahan United adalah kepada pasukan kelompok bawahan, dengan satu lagi kekalahan kepada pasukan di tangga kesembilan, Newcastle United.

Kemenangan United selebihnya membabitkan pasukan kelompok separuh terbawah, Norwich City dan Brighton and Hove Albion, yang bukan pun satu kebetulan sebenarnya.

Malah, dari sudut mana pun ia dilihat, ia bukanlah satu resipi untuk mereka berkesudahan dalam kelompok empat teratas atau meraih peningkatan jangka panjang.

Persoalan pokoknya ialah bagaimana pasukan dipersiapkan dan bagaimana Solskjaer dan barisan kejurulatihannya kelihatan tidak mengasuh pasukan bermain corak menyerang secara bersepadu yang menjadi pemisah pasukan-pasukan dalam saingan peringkat tertinggi.

Mungkin ramai yang memilih ketiadaan Paul Pogba sebagai punca kehambaran United tapi masalah sebenarnya adalah Solskjaer – yang harus disoal apakah falsafah bola sepak jurulatih dari Norway itu berkesan buat pasukan bimbingannya.

Selepas mengambil alih daripada Jose Mourinho yang dipecat setahun yang lalu, pelbagai soalan terus ditanya apakah dia calon yang tepat untuk mengemudi kebangkitan yang dicitakan daripada The Red Devils.

Apakah masih ada sinar buat United pada ketika Solskjaer dilihat gagal memugar pasukan ke tahap yang didambakan penyokong mereka?

Dengan separuh musim 2019/20 sudah berlalu, persoalan itu jelas belum menyuakan sebarang kepastian.

 

Advertisement

Must Watch Video