Skip to main content

Rencana

United kembali ‘bersatu’, menari-nari

shaukei-dis4-(1).jpg
Jose Mourinho harus tidak menyukainya. Belumpun lama sepeninggalannya, Manchester United kembali bersatu sambil penyokong memiliki sebab untuk meraikan Krismas dengan lebih riang ria.

“Manchester sudah ‘united’ (bersatu) semula,” kata tajuk akhbar Daily Mail UK sebagai mengiringi kejayaan The Red Devils memperbudakkan Cardiff City 5-1 di gelanggang lawan kelmarin – kali pertama di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Bukan setakat itu saja, malah lebih daripada itu sebagai menambah rasa sakit hati Mourinho, yang harus menonton perlawanan itu menerusi televisyen di kediaman mewahnya yang bernilai £25 juta (RM132.5 juta) di London.

“Pemain-pemain kelihatan santai, penyokong menari-nari sambil gol-gol dan bola sepaknya kembali mengalir di bawah pengendalian Solskjaer,” kata akhbar itu.



Pelbagai analisis lain yang dibuat menyimpulkan United sangat mengujakan dalam perlawanan itu setelah “belenggu” yang mengekang pergerakan mereka selama di bawah kekuasaan Mourinho, terlerai kesudahannya.

Paul Pogba dan rakan-rakan jelas amat bersemangat dengan 17 percubaan secara keseluruhan dengan menyerlahkan penguasaan sepanjang permainan.

“Lebih banyak percubaan, lebih banyak hantaran… ia seolah-olah sedang menyaksikan sebuah pasukan lain beraksi.

“Statistik kami menunjukkan betapa banyak United sudah berubah dalam perlawanan pertama mereka di bawah pengawasan Solskjaer. Mereka memiliki 74.3 peratus penguasaan bola – peratusan tertinggi mereka dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris sejak Oktober lalu,” kata akhbar itu lagi.

Anda mungkin berkata itu baru satu kemenangan, hanya tiga mata dan lawan hanyalah Cardiff, sebuah pasukan kerdil yang harus berpuas hati tidak tergolong dalam tiga pasukan terbawah Liga Perdana Inggeris seperti diakui pengurusnya, Neil Warnock.

Malah, mereka juga adalah pasukan yang sebelumnya bolos lima gol menentang Manchester City dan masing-masing empat gol kepada Chelsea dan Liverpool.



Pastinya ujian lebih getir menanti United tapi pastinya juga semangat dan keceriaan yang diserlahkan ketika berdepan Cardiff itu membayangkan mereka tidak akan menjadi seburuk ketika Mourinho di kerusi pengurus.

“Anda buat saya gembira ketika langit berwarna kelabu,” demikian dinyanyikan segerombolan penyokong United sambil mereka memuji-muji Solskjaer.

“Dia baru dua hari menyertai kami,” kata pemain perancang, Nemanja Matic. “Kami hanya sempat mengadakan beberapa pertemuan.

“Dia menegaskan kami perlu lebih bermain ke depan, untuk lebih berbahaya ketika menyerang, bersaing dengan setiap pasukan dan itulah yang kami lakukan. Kami berasa gembira kerana itu.”

Adalah mustahil untuk mendendami legenda United dari Norway itu yang menikmati permulaan impian dalam tugas barunya itu.

Tapi harus mudah untuk kini merelakan pemergian Mourinho dan melupakannya dalam sesingkat waktu.

Dan ia tidak akan mengambil masa lama untuk sejarah menggolongkannya senasib dengan David Moyes dan Louis van Gaal.

 

Advertisement

Must Watch Video