Skip to main content

Rencana

Umpan Thailand jadikan cabaran

umpan-cover.jpg
Tan Cheng Hoe pantas menepis gembar-gembur Thailand ditawarkan ganjaran RM1 juta jika menundukkan Malaysia sebagai ‘umpan’ dan permainan psikologi pasukan lawan.

Atas kepercayaan itu juga, ketua jurulatih Harimau Malaya itu mahu pemain-pemainnya tidak termakan umpan berkenaan, sebaliknya fokus kepada usaha untuk memastikan tiga mata di tempat sendiri dalam perlawanan kelayakan Kumpulan G, Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Sudah rasmikah ganjaran selumayan itu sebenarnya?

Segala gembar-gembur mengenai habuan itu bukan datangnya daripada kenyataan rasmi Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) atau daripada skuad Gajah Perang itu sendiri.

Sebaliknya, ia diuar-uarkan akhbar Lao Dong dari Vietnam, negara yang akan menjadi lawan Thailand berikutnya selepas pertemuan dengan Malaysia itu.



Menurut laporan di atas talian Lao Dong yang bertarikh 11 November lalu, dalam usaha menaikkan semangat pemain-pemain, FAT menawarkan habuan menjelang perlawanan mereka dengan Malaysia, dan juga Vietnam.

Memetik sumber-sumber laman web sukan, Siam Sport, akhbar Vietnam itu melaporkan pasukan Thailand akan menerima AS$263,000 (RM1,092,133) jika dapat mengatasi Malaysia.

Jumlah habuan bagi perlawanan berikutnya menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Selasa depan pula hanya akan diumumkan selepas pertemuan Malaysia-Thailand, kata akhbar itu.

Siam Sports meramalkan jumlah habuan yang bakal diterima ketua jurulatih, Akira Nishino, dan barisan pemainnya bagi pertemuan dengan Vietnam akan lebih lumayan jika Malaysia lebih dahulu dapat ditundukkan.

Dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan – sama seperti Vietnam – kemenangan di Bukit Jalil malam esok bukan hanya akan mengekalkan Thailand di tangga teratas tapi turut memberi lonjakan semangat untuk mereka berkunjung ke Hanoi.

Lebih penting lagi, kata Lao Dong, kemenangan ke atas Malaysia akan membuka peluang buat skuad Gajah Perang itu meraih tiket selaku salah satu daripada empat pasukan terbaik di tangga kedua di samping memiliki kelebihan menantikan kunjungan Indonesia dan Malaysia dalam perlawanan timbal balik tahun depan.

Dalam pada itu, akhbar berkenaan turut melontarkan amaran saingan di Bukit Jalil bukan mudah, apatah lagi Malaysia turut terdesak selepas kekalahannya kepada UAE dan Vietnam.



Thailand juga, tambahnya, harus belum melupakan kekecewaan disingkirkan Malaysia dalam separuh akhir Piala AFF di Bangkok tahun lalu.

Sama ada habuan buat Thailand itu benar atau sebaliknya, bukanlah persoalannya ketika ini.

Lagipun, tiada apa yang hendak dihairankan. 

Jika benar pun FAT mahu menawarkan ganjaran sebesar itu buat pemain dan barisan kejurulatihannya, itu urusan mereka dan kita tiada hak ikut campur.

Namun, ia pastinya akan lebih menarik jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mampu menandingi umpan itu dengan menawarkan skuad Harimau Malaya RM1 juta juga jika menang malam esok.

Oleh kerana ia ‘jauh panggang dari api’, maka Harimau Malaya harus bangkit bersematkan lencana di dada untuk menafikan Thailand daripada meraih habuan – atau kemenangan psikologi mereka.

Tiada habuan lebih besar daripada memberikan kebanggaan kepada negara.

Advertisement

Must Watch Video