Skip to main content

Rencana

Uighur: Olimpik Musim Sejuk 2022 diboikot?

beijing-olympics.jpg
China menerima kritikan seluruh dunia atas dakwaan menindas etnik Uighur.
 

Ia bukan soal agama tetapi kemanusiaan apabila ribuan gambar dan video mengenai nasib etnik Uighur tersebar di internet hingga mengundang rasa tidak puas hati selebriti seperti pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil.
 
Maka, laungan boikot terhadap China mula kedengaran.
 
Boikot ini menyasarkan ribuan produk China tetapi yang turut terkena tempias, persiapan republik itu menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing.
 
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menerima tekanan untuk mengambil tindakan tegas - sama seperti apabila mereka menggantung Russia daripada menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 atas dakwaan komplot kerajaan terhadap penggunaan bahan terlarang.
 
Jika kes itu berbeza, lihat pula kepada sejarah.
 
65 negara termasuk Malaysia memboikot Sukan Olimpik Moscow 1980 kerana tindakan Soviet Union menceroboh Afghanistan.
 
Atlet negara kecewa bukan kepalang kerana sudah buat persiapan rapi.
 
Malah, Harimau Malaya kendalian mendiang Karl Heinz Weigang sepatutnya buat penampilan terakhir dalam temasya itu hingga dijadikan filem Ola Bola.
 
Selepas 39 tahun, skuad bola sepak negara kempunan layak ke Sukan Olimpik.
 
Tetapi atlet, jurulatih atau pegawai negara terpaksa akur dengan keputusan kerajaan.
 
Mereka sedar, sukan bukan hanya soal pertandingan tetapi lebih daripada itu.
 
Minggu lalu, peluncur air Filipina, Roger Casugay, diangkat sebagai wira apabila mengetepikan perebutan emas acara longboard Sukan SEA demi menyelamatkan Arip Nurhidayat dari Indonesia yang hampir lemas.
 
Ketika itu, Arip mengalami kecederaan buku lali ketika menghadapi ombak ganas ekoran Taufan Kammuri.
 
Media mengangkat Casugay sebagai wira temasya hingga lupa, siapa menang emas, perak, gangsa acara itu.
 
Sukan sepatutnya jadi medium penyatuan bangsa seluruh dunia.
 
Apa yang dialami etnik Uighur cukup menyedihkan. 
 
Adakah negara seluruh dunia akan bersatu dan mimpi ngeri boikot Sukan Olimpik Moscow 1980 berulang?
 
 

Advertisement

Must Watch Video