Skip to main content

Rencana

Tunku pergi, anak Pilah tetap berbakti

akbar01.jpg
Setiap kali saya pulang ke kampung selepas selesai tugasan di luar negara, saya sering jadi bahan usikan rakan-rakan di kampong halaman di Kuala Pilah.
 
“Hebat kau jang! Budak Pilah pertamo dapek tomuramah pomonang pingat omeh kek Glasgow..". Ini ungkapan pertama rakan-rakan sekampung empat tahun dulu selepas pulang dari temasya Sukan Komanwel 2014 di Scotland.
 
Ketika itu saya menemubual Mohd Hafifi Mansor selepas dia menang emas pertama negara di Glasgow. Kenangan itu saya simpan sehingga edisi ke-21 di Gold Coast kali ini. Cuma bezanya ketika ini saya tidak menemubual pemenang emas pertama Mohamad Azroy HazalWafie Izhar Ahmad.
 
Tetapi saya tetap yang pertama, membuat ulasan langsung acara babitkan Azroy di Gold Coast. Berdesup mesej di aplikasi whatapps telefon bimbit saya dari siapa lagi, kalau bukan dari rakan-rakan di kampung halaman yang setia menonton Astro Arena.
 
“Hebat kau jang, ompek taun den tunggu budak pilah ni, kau jugak yang pertamo dapek omeh! “ itu antara mesej saya terima. Dan saya akan kenang saat membanggakan saya sebagai anak jati Kuala Pilah sehingga di Birmingham pada 2022 nanti. Budak Pilah akan ke England - itu mungkin jadi nyata.


 
Garisan penamat  buat Tunku Imran
 
Lain pula ceritanya seorang lagi anak jati Kuala Pilah iaitu Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaa'far, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Ini penampilan terakhir Tunku Imran selaku presiden MOM, selepas tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan MOM bulan depan.
 
Kesempatan menemubual Tunku Imran jadi kemuncak penampilan saya di Gold Coast. Tunku yang peramah menegur saya, “Warikh, handa kito ni, orang Pilah kek Gold Coast.” Saya menyambutnya dengan senyuman. Tunku bangga dengan susur galur kami berdua yang berasal dari daerah sama iaitu Kuala Pilah.
 
Temubual berkisar penampilan terakhir Tunku di sukan bertaraf temasya selaku pemimpin nombor satu Majlis Olimpik Malaysia. Walau sedih tetapi beliau bangga dengan kejayaan dilakarnya.
 
Satu yang akan saya ingat ialah kata-kata akhir Tunku kepada saya, “Akbar, nanti saya dah tak ado, tapi awak akan totap jadi anak Pilah kek sukan bosa macam Komanwel, Awak kono poie Birmingham.”
 
Alhamdulillah walau saya sedih Tunku tidak lagi memimpin MOM bermula di Sukan Asia Jakarta, Sukan Olimpik di Tokyo dan Sukan Komanwel di Birmingham nanti, saya mungkin akan kekal sebagai anak Kuala Pilah yang berkelana di setiap sukan bertemasya.
 
Terima kasih Tunku dan terima kasih Astro Arena.
 
*Jangan lupa ikuti liputan eksklusif kontinjen negara di Sukan Komanwel 2018 menerusi saluran Astro Arena 801/802HD dan saluran khas berita Nadi Arena 800/803HD

Advertisement

Must Watch Video