Skip to main content

Rencana

Tuah bukan datang bergolek

haiqal-hanafi.jpg
Bekas penjaga gawang yang kini ahli lembaga pengarah kelab Bundesliga, Fortuna Dusseldorf, iaitu Lutz Pfannenstiel, berpandangan tuah mempunyai kaitan penting dalam bola sepak.

"Ia mengenai berada di tempat yang betul dan masa yang tepat. Kemahiran dan latihan mampu menjelmakan banyak faktor tuah, namun anda masih perlukan 20 peratus lagi," katanya kepada Al Jazeera.

"Tuah bermaksud apabila bola mengenai Harry Kane dan ia melantun masuk ke dalam gawang. Namun, Kane bekerja keras untuk tuah itu dan mempunyai naluri yang tepat."

Jadi, bukanlah secara kebetulan Haiqal Hanafi muncul raja pecut Asia Tenggara yang baru.

Dia turun dengan status peserta bidan terjun untuk menggantikan tempat Muhammad Zulfiqar Ismail dan hanya dimaklumkan akan berlumba, seminggu sebelum Sukan SEA Filipina bermula.

Pemilihannya menjadi topik hangat memandangkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sudah mengisytiharkan untuk menggunakan dua pelari terbaik musim ini.

Bagaimanapun, untung menyebelahinya apabila terpilih di samping seorang lagi pelumba, Jonathan Nyepa, untuk mengibarkan cabaran dalam acara 100 meter lelaki.



Barangkali atas alasan prestasi memuncaknya susulan masih segar daripada menjuarai Kejohanan Olahraga SSBJ.

Tetapi dia perlu ke Manila tanpa jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim, yang sedang mengerjakan umrah.

Tuah sekali lagi memihaknya apabila peserta pilihan, Eric Cray, dibatalkan penyertaannya ekoran kesilapan pada awal permulaan peringkat saringan.

Dan dia akhirnya memilih untuk menyerlahkan kemampuan sebenarnya apabila memecut sejak dari mula sebelum melintasi 'reben biru'.
 

Advertisement

Must Watch Video