Skip to main content

Rencana

Transformasi Wolves perlu jadi ikutan

jiminez.jpg
Sejak pelantikan Nuno Espírito Santo pada Mei 2017, Wolverhampton Wanderers telah berkembang dan kini berada di ambang beraksi di pentas Eropah dalam dua musim berturut-turut.

Wolves turut dalam perjalanan untuk memburu kelompok empat pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika Manchester United dan Chelsea mempamerkan aksi yang kurang konsisten. Ini merupakan pencapaian luar biasa buat Wolves yang sebelum ini sekadar bersaing dalam Liga Kejuaraan.

Sebelum pelantikan Santo, Wolves menghuni tangga ke-15 liga. Namun, ketibaannya telah berjaya mendapatkan khidmat pemain seperti Willy Bolly, Diogo Jota serta Ruben Neves yang memberikan nafas baru buat Wolves. Corak permainan hantaran pendek dan pantas membuktikan mereka mampu bersaing dengan kelab gergasi EPL.

Bagi musim lalu, Wolves menandatangani penyerang Mexico, Raul Jimenez, yang dijadikan sebagai taruhan utama meledak gol.

Namun, Wolves memerlukan empat perlawanan sebelum meraih kemenangan pertama mereka selepas mencatatkan dua seri dan satu kekalahan dalam tiga perlawanan pembukaan mereka. Selepas mengatasi West Ham, ia menjadi titik perubahan nasib mereka apabila menamatkan saingan di tangga ketujuh.

Wolves yang dibimbing Santo turut berjaya mengatasi pasukan seperti Leicester dan Everton tetapi turut meraih kemenangan ke atas empat daripada enam pasukan teratas liga. Wolves meraih tiga mata ke atas Chelsea, Arsenal, Spurs dan juga Manchester United hingga dilabel sebagai 'pembunuh gergasi' dan mentaliti itu masih lagi mereka kekalkan bagi musim ini.

Musim 2019-2020 menyaksikan Wolves bersaing dalam Liga Europa (UEL) dan pada permulaan musim, terdapat persoalan bolehkah mereka bersaing pada tahap yang tinggi?

Dan jawapannya, semestinya boleh. Mereka telah mengatasi kelab-kelab seperti Torino, Braga dan juga mengalahkan Besiktas 4-0 untuk layak ke pusingan 32 di mana mereka akan menghadapi pasukan Espanyol yang telah mengalahkan Barcelona musim ini.

Tambahan pula, di samping perkembangan Eropah mereka, Wolves kekal cemerlang dalam saingan domestik apabila berada di tangga ketujuh dan hanya ketinggalan empat mata daripada penghuni tangga keempat liga, Chelsea.

Kecemerlangan mereka untuk kekal konsisten dalam kalangan skuad elit di England merupakan sesuatu yang diimpikan oleh setiap peminat Wolves dan Santo berjaya merealisasikannya.

Dengan peluang untuk ke UCL masih lagi terbuka, tidak mengira dengan menjuarai Liga Europa (UEL) mahupun berjuang mendapatkan tempat keempat liga, Santo telah melakukan tugas yang terbaik dan berjaya menghasilkan sesuatu yang mustahil buat kelab tersebut.
 

Advertisement

Must Watch Video