Skip to main content

Rencana

Tragedi di Buriram

malaysia-harimau-malaya-101117_1.jpg
Tajuk yang penulis berikan di atas seakan malapetaka yang berlaku dan ia sememangnya malapetaka yang melanda bola sepak negara.

Dua kekalahan  aksi kelayakan Piala Asia di tangan Korea Utara dengan keputusan 4-1 di Buriram jelas cukup pahit diterima pemerhati, peminat dan juga warga media tempatan.

Memang sebelum sepak mula, kita sudah sedia maklum Korea Utara lebih ampuh namun bagi penulis, bendera putih seakan sudah dikibarkan sebelum perlawanan.

Penulis berasa begitu, berlandaskan kesebelasan yang diturunkan pengendali kebangsaan Nelo Vingada dalam kedua-dua perlawanan.

Aksi pertama dengan Korea Utara menyaksikan Vingada menurunkan Afiq Fazail, yang kali pertama beraksi dengan skuad negara dalam kesebelasan utama.

Tatkala Kiko Insa yang sebelum ini menghuni posisi tengah bertahan, beraksi selaku bek tengah dan penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Izham Tarmizi langsung tidak digunakan di Buriram.

Lebih menarik, aksi kedua dengan Korea Utara menyaksikan tiada seorang pun pemain JDT yang diturunkan dalam kesebelasan utama.

Penulis sukar memahami dan di atas kewarasan apakah Vingada menurunkan kesebelasan sedemikian rupa?

Apakah kerana kecederaan atau terdapat faktor lain yang memaksa Vingada menurunkan kesebelasan begitu?

Ia juga sukar memahami bagaimana seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman bersama pasukan gergasi Asia seperti Arab Saudi menurunkan kesebelasan seperti itu.

Atau Vingada masih tidak mengenal pemain negara walaupun sudah beberapa bulan di Malaysia?

Kekalahan kepada Korea Utara adalah yang ketiga berturut-turut buat skuad negara dan yang keenam daripada tujuh perlawanan di bawah kendalian Vingada.

Hanya satu seri yang berjaya diraih di bawah pengendali dari Portugal itu dan ia jelas, satu rekod yang cukup hambar jika dibandingkan mana-mana jurulatih import yang pernah melatih skuad kebangsaan.

Jika Dollah Salleh meletak jawatan selepas skuad negara diaibkan 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu di kelayakan Piala Dunia pada 2015, mengapa kini tidak Vingada?

Namun, tiada juga jaminan ia akan membantu skuad negara jika Vingada meletak jawatan atau dipecat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagi penulis, mungkin kita patut hanya menyenaraikan pemain daripada skuad bawah 19 dan 22 tahun serta hanya dua atau tiga pemain senior membentuk skuad negara selepas ini.

Kaedah ini pernah digunakan bekas pengendali kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang menyaksikan kita muncul juara Piala Suzuki AFF 2010.

Sama ada Vingada kekal atau tidak, penulis menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan FAM membuat kata putus.

Namun, apa yang pasti barisan senior sudah seakan tidak relevan kini dan mungkin FAM wajar mempertimbangkan penggunaan lebih tenaga muda.

Piala Asia 2019 sudah pun melabuhkan tirainya buat skuad negara, jadi tidak salah jika kita membentuk semula barisan yang baru untuk Piala Suzuki AFF 2018.
 

Advertisement

Must Watch Video