Skip to main content

Advertisement

Rencana

TMJ: Tegas dan integriti dalam kepimpinan FAM

260317safkepimpinanfam.jpg
Apa yang diinginkan oleh rakyat Malaysia untuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, mentadbir badan induk bola sepak negara, sudah menjadi realiti.

Dengan rekod yang cemerlang ketika menjulang nama Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam sesingkat masa, sudah pasti ia akan memberi kelebihan kepada Tunku Ismail untuk mentransformasikan bola sepak negara ke landasan yang betul.

Dengan sikap tegas dan integriti yang tinggi serta mempunyai perancangan jangka masa pendek dan panjang, sudah pasti ia memerlukan komitmen dan barisan ahli jawatankuasa yang mampu seiring dengan idea dan komited terhadap urus tadbir TMJ di dalam FAM.

Inilah ciri-ciri seorang pejuang dan mempunyai perancangan serta berfikiran jauh di mana TMJ tidak mengambil masa yang lama untuk merubah sistem yang ada dalam urus tadbir FAM.

Langkah pertama TMJ ialah dengan mengambil berat tentang kewangan FAM dan meletakkannya di bawah jagaan serta kelulusan presiden serta merombak pasukan kejurulatihan skuad kebangsaan.

Ia bagaikan seorang "diktator" tetapi itulah sikap yang diperlukan oleh seorang pemimpin sekiranya ingin merubah minda cara bekerja dan persepsi masyarakat terhadap FAM.

Apa yang dapat dilihat oleh penulis, ia satu tindakan bijak daripada TMJ dengan meletakkan nilai integriti dan ketegasan serta cara bekerja yang efisien.

Itu sahaja yang mampu merealisasikan setiap perancangan yang dibuat dan dapat menggerakkan tenaga kerja untuk melaksanakan setiap perancangan yang telah disusun.

Namun, penulis mengharapkan semua pencinta bola sepak tanah air bersikap terbuka dan realistik dengan keadaan sistem bola sepak Malaysia pada masa ini.

Bukan mudah untuk merubah sekelip mata untuk menjulang nama Malaysia di peringkat tertinggi di mana kita sebagai rakyat Malaysia juga perlu memainkan peranan untuk sama-sama mengangkat martabat bola sepak Malaysia.

Berilah sokongan kepada TMJ dan kabinet baharunya untuk melaksanakan perancangan yang telah diatur kerana banyak yang perlu diperbetulkan, bukan sahaja di dalam FAM itu sendiri tetapi yang lebih penting bagaimana untuk merubah sistem di akar umbi.

Sama-sama kita berdoa semoga apa yang dirancang oleh presiden dan ahli jawatankuasa eksekutif FAM yang baharu ini dapat merubah landskap bola sepak Malaysia.

Advertisement

Must Watch Video