Skip to main content

Rencana

TMJ sudah pun menang jika calon lain ‘gentleman’

6217tmj.jpg
Tunku Mahkota Johor (TMJ) sudah boleh diandaikan menang jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tanpa bertanding.

Sama ada disedari atau tidak, rombongan 14 ahli gabungan FAM yang diperkenan menghadap Sultan Johor di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pagi ini, sudah pun “memenangkan” Tunku Ismail tanpa dicabar… andainya calon-calon lain bersikap ‘gentleman’ dan bermaruah dengan kata-kata mereka.

Sebaliknya, jika calon-calon lain berkeras untuk bertanding juga dan diandaikan salah seorang daripada mereka yang menang, soalan yang harus ditanya ialah… apakah kredibiliti dan integriti calon itu sesudah masing-masing sebelumnya menyatakan persetujuan bersyarat untuk menarik diri daripada bertanding.

Pada 26 Januari lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan akan menarik diri daripada perebutan jawatan presiden FAM jika Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersetuju bertanding.

Dalam pada menghargai tindakan ahli gabungan yang mencalonkannya, Khairy, bagaimanapun, berkata beliau akan meletakkan Tunku Ismail sebagai pilihan utama dan sedia menarik diri jika TMJ bersetuju memegang tampuk pentadbiran FAM.

"Ya, pasti, pasti. Saya rasa Tan Sri Annuar (Musa) pun akan menarik diri. Dia (Annuar) kata kalau Tunku Ismail bertanding, dia akan menarik diri. Tan Sri Aseh (Che Mat), saya rasa automatiklah sebab itu… apa-apa sajalah."

Tambahan pula, Khairy sudah dinasihatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, agar tidak menawarkan diri atau menerima pencalonan untuk bertanding jawatan presiden FAM.

Sebagai Menteri Belia dan Sukan, katanya, Khairy seharusnya lebih menumpukan perhatian kepada portfolio yang dipegangnya agar memberikan perhatian kepada semua sukan di Malaysia dan bukan bola sepak semata-mata.

Dalam reaksi serta-mertanya, Khairy berkata beliau sudah pasti mengambil kira nasihat bosnya itu.

Terdahulu, pada 15 Januari, Annuar pula menyatakan kesediaan menawarkan diri bagi jawatan presiden FAM, “jika TMJ atau mana-mana presiden 19 ahli badan gabungan TIDAK bertanding”.

Menjelaskan lebih lanjut pendiriannya ketika itu, Annuar berkata beliau tidak pernah berhasrat menentang Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ itu kerana menganggap baginda sebagai calon berkelayakan.

“Jika Tunku Ismail tetap tidak mahu menjadi presiden FAM, maka pada pendapat saya, salah seorang daripada presiden badan gabungan perlu bersedia mengambil tanggungjawab tersebut.

“Jika tiada siapa yang masih mahu mendapatkan jawatan tersebut, saya bersedia untuk dipilih menjadi presiden FAM,” katanya.

Aseh, selaku pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, boleh dirumuskan akan memberi laluan dengan perkenan Sultan Johor bukan saja untuk TMJ bertanding, malah diiringi titah agar mengubah air muka bola sepak tanah air.

Tapi… nanti dulu. Barangkali ia agak terburu-buru untuk “menutup panggung” berkait dengan perebutan jawatan presiden FAM pada waktu ini.

Pada hari TMJ mendapat perkenan untuk bertanding, Annuar pula seakan-akan bergegas untuk menjadi individu pertama menyerahkan borang pengesahan pencalonannya kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini.

Lupakah Annuar dia bukan lagi presiden salah satu badan gabungan?

Jelaslah, ia belum berakhir selagi ia belum berakhir, dengan kepastian mengenai senarai calon yang layak bertanding bagi semua jawatan dalam barisan kepemimpinan FAM untuk penggal 2017-2021, hanya akan diumumkan selepas mesyuarat Exco FAM pada 20 Februari ini.

Seperti satu ungkapan bahasa Inggeris, plotnya semakin tebal!

Gambar: Laman Facebook JOHOR Southern Tigers

Advertisement

Must Watch Video