Skip to main content

Rencana

Tilam punya pasal!

cover.jpg
Brazil akhirnya menamatkan saingan peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 selaku juara selepas menewaskan Serbia 2-0 dalam aksi terakhir di Otkrytiye Arena.
 
Juara dunia lima kali itu melalui permulaan yang suram dalam kempen di Russia apabila diikat seri 1-1 dengan Switzerland, menewaskan Costa Rica 2-0, sebelum jaringan daripada Paulinho dan Thiago Silva membolehkan mereka membenam Serbia untuk Brazil berada di tangga pertama Kumpulan E.
 

 
Bagaimanapun, aksi terakhir berdepan Serbia telah menampilkan satu insiden yang secara tidak langsung menarik perhatian di dalam serta di luar padang.
 
Pemain pertahanan, Marcelo, terpaksa dikeluarkan tatkala permainan baru berusia 10 minit kerana benteng Real Madrid itu dikatakan mengalami masalah dengan otot.
 
Marcelo dilihat meninggalkan padang dan digantikan oleh Filipe Luis sambil pengadil perlawanan, Alireza Faghani, tampak tidak begitu memahami punca pemain itu keluar kerana dia tiba-tiba berjalan perlahan-lahan tanpa sebarang kecederaan walaupun tidak terlibat dengan sebarang rempuhan atau halangan daripada pemain lawan dan hanya menunggu digantikan.
 
Doktor pasukan, Rodrigo Plasmar, melakukan pendedahan mengejutkan apabila mendakwa kecederaan yang dialami bek kiri itu adalah berpunca daripada tilam di tempat tidur!
 

 
"Marcelo berdepan masalah dengan otot pada bahagian tulang belakang. Ia mungkin disebabkan oleh tilam di tempat tidurnya sepanjang berada di Moscow.
 
"Sama ada dia mampu beraksi atau tidak, kami harus menunggu tetapi setakat ini, segalanya tampak bagus," ujar Plasmar.
 
Sememangnya kes seperti apa yang berlaku di Otkrytiye Arena itu jarang didengari oleh rata-rata peminat bola sepak.
 
Di sebalik kisah tentang Marcelo, wujud elemen positif apabila menyaksikan kelibat Luis di dalam padang.
 
Walaupun bertindak selaku pemain gantian, benteng Atletico Madrid itu mencatat kadar 88 peratus hantaran sempurna, 100 peratus ketepatan hantaran jauh serta satu percubaan tepat yang hampir memberikan jaringan buat Selecao.
 

 
Situasi itu pastinya menggembirakan pengendali, Tite, kerana dia sudah kehilangan khidmat Danilo di pertahanan kanan dan digantikan dengan Fagner 
 
Sekurang-kurangnya, jika Marcelo tidak dapat beraksi dalam perlawanan pusingan kedua, pengendali berusia 57 tahun itu mampu menarik nafas lega kerana memiliki pengganti seperti Luis.

Advertisement

Must Watch Video