Skip to main content

Rencana

Tiket punya hal… bila mau selesai?

tiket.jpg
Bila berbicara tentang penjualan tiket final bola sepak tempatan, tak pernah kita dengar yang positif. Sebahagiannya negatif.

Sampai bila nak selesai masalah ini? Cubaan untuk memperbaiki proses penjualan setiap tahun pasti tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

Apa yang tak kena?

Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) sudah memaklumkan lebih awal jumlah agihan untuk kedua-dua pasukan, baik Kedah mahupun Johor Darul Ta’zim (JDT).

Yang peliknya, kenapa di Larkin proses penjualan berlangsung dalam suasana terkawal dan tersusun,  tidak seperti di Alor Setar yang menyaksikan suasana kelam-kabut.

Cukup mengecewakan.

Penulis tidak mahu berbicara berapa banyak tiket dijual.T api apa yang ingin diutarakan ialah bagaimana perancangan awal untuk proses penjualan dijalankan.

Kalau dah sampai berpuluh surat permohonan daripada kelab penyokong diterima lebih awal sambil disertakan tandatangan "Yang Berhormat" sebagai sokongan -- maklumlah dah nak dekat peristiwa penting negara -- 10 kali final pun senario yang sama akan terus dipertontonkan.

Bila kita marah, pihak terbabit mulalah tarik muka. Pelbagai alasan akan diberikan.

Antara kenyataan popular yang akan dikeluarkan oleh pihak terbabit:

1.    Kami tidak menyangka sambutan luar biasa yang diterima. (Walhal dah banyak kali masuk final.)

2.    Mungkin penyokong tidak memahami secara lanjut bagaimana kami agihkan tiket ini sebenarnya. (Cerita la)

3.    Kami tidak menyangka dalam masa beberapa jam saja tiket telah habis dijual. (Tak kan kot)

4.    Kita rasa kita akan cadangkan kepada pihak FAM atau FMLLP mengubah semula SOP penjualan tiket (Bukan ada mesyuarat ke? Tak kan masuk dengar sambil makan karipap saja)

5.    Ini alasan paling popular."Kami akan siasat dan perbaiki segala kelemahan." (Dah jadi baru nak kaji, dah kena baru nak cadang. Biasa la Malaysia)

Semua telah dilakukan untuk memperbaiki mutu penjualan tiket pada siap kali perlawanan akhir dilangsungkan.
Namun, kesimpulan paling mudah, jangan berbicara soal profesionalisme kalau nak agih tiket pun, dah jadi carcamarba.

Rasa kasihan penulis pastinya kepada mereka yang telah berada di stadium bersama pasukan sejak dari awal musim hinggalah ke penghujung musim -- tak kira hujan, kalah mahupun menang, tak dapat memiliki tiket.

Penulis juga dimaklumkan bagaimana pantasnya si ulat-ulat tiket yang telah mula menjual bermula dari harga RM100 sekeping.

Buat segelintir YB yang kali pertama nak ke stadium untuk final Piala Malaysia, lokasinya di Shah Alam tau!

Tak tau, guna Waze ya. Lepas tu penulis nak bagitau YB, perlawanan ini sekali saja tau, tak ada timbal balik.

Takut YB tanya orang sebelah "ni kalau menang, agregeat macam mana?”

Tak YB, ini main sekali, lepas tu musim 2017 dah habis.

YB jangan marah ya. Assalamualaikum. Majulah Sukan Untuk Negara.

Advertisement

Must Watch Video