RENCANA
Terima kasih Nafiizwan...
Teka-teki persaraan pemain skuasy lelaki negara, Nafiizwan Adnan akhirnya terjawab apabila dia mengumumkan persaraannya selepas tumpas di aksi suku akhir Kejohanan Skuasy Individu Asia 2019, pada Jumaat.
Pemain berusia 33 tahun itu mengesahkan dia membuat keputusan untuk bersara selepas sudah banyak menyumbang kejayaan buat skuad negara.
Menurutnya lagi, keputusan berkenaan dibuat selepas sekian lama memikirkan mengenai persaraan sejak tahun lalu.
Iklan
"Saya menangguh dulu persaraan dan mahu beraksi di Kejohanan ini kerana ia berlangsung di Malaysia, namun selepas cabaran saya sudah berakhir, bermakna saya pun secara rasmi sudah bersara," katanya.
Impian Nafiizwan adalah untuk menutup tirai kerjayanya dengan kejuaraan di pentas kompetitif peringkat antarabangsa.
Ianya tidak tercapai kerana perlu menghadapi laluan sukar untuk menewaskan pemain yang berada di ranking ke-10 dunia, Saurav Ghosal pada saingan suku akhir Kejohanan Individu Asia musim ini.
Kali terakhir pemain kelahiran Terengganu itu muncul juara ketika Malaysia menganjurkan Kejohanan Asia pada tahun 2011 di Pulau Pinang.
Atas dasar itu, kejayan itu menjadikannya pemain tumpuan pada kejohanan kali ini selepas peminat skuasy negara meletakkan harapan kepadanya untuk merangkul kejuaraan dalam persembahan terakhirnya.
Nafiizwan mengharungi musim paling cemerlang dalam kariernya apabila meraih pingat gangsa bersejarah Malaysia di Sukan Komanwel Gold Coast (perseorangan lelaki) tahun lalu dan pingat emas acara berpasukan lelaki dan gangsa perseorangan lelaki Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Must-Watch Video