Skip to main content

Rencana

Terima kasih atas sandiwaramu itu, Chatchai

hasd.jpg
Janji Chatchai Budprom, Harimau Malaya sepatutnya menempuhi mimpi ngeri.

Ia bernada lancang tetapi pada akhirnya, Stadium Rajamangala sepi sebaik sahaja Gajah Perang sah gugur di medan perang. 

Mereka tidak tewas tetapi lebih memeritkan lagi disingkirkan dengan agregat 2-2, dengan Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala AFF 2018 berdasarkan gol di tempat lawan. 

Barangkali dikobarkan dengan kata-kata itu, Harimau Malaya lebih garang di depan gol dalam pertemuan kedua separuh akhir  di Bangkok, malam tadi, selepas aksi buntu di Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Saya harus tabik kepada Chatchai di atas keberaniannya dalam sidang akhbar pra-perlawanan sekalipun keyakinan menjeratnya.

Tetapi, biarlah ia dilihat sebagai elemen dalam sukan. Saya sukakan karakter sebegini, sebagaimana yang dimiliki bintang bola sepak dunia yang lain.

Laungannya menyingkap sebuah ego menggunung seorang atlet yang menggalas misi negara yang diangkat sebagai pilihan kejohanan selain mengintai kejayaan hatrik.

Ini ujian dalam karier Chatchai, begitu juga dengan Adisak Kraison yang menyepak tinggi sepakan penalti di penghujung masa kecederaan. Kegagalan sebegitu adalah detik ngeri buat mana-mana pemain.

Saya harap mereka mampu bangkit.

Terima kasih atas bab baru perseteruan di antara kedua-dua negara biarpun mereka terlepas khidmat ramai pemain utama kerana terikat dengan komitmen bersama kelab.

Kalau sebelum ini mereka sentiasa dilabel pilihan, kini mereka ada hutang untuk dilunaskan kelak.

Tahniah buat jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, dan anak-anak buah. Apapun, perjuangan anda belum selesai.

Advertisement

Must Watch Video