Skip to main content

Rencana

Tengku Amir dijangka lakukan perubahan

tengku-amir-shah.jpg
Kesediaan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mengetuai pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sudah pasti dialu-alukan peminat setia Gergasi Merah.

Tengku Amir menyuarakan kesediaan baginda mengambil alih tugasan presiden FAS daripada Datuk Seri Subahan Kamal menerusi kenyataan rasmi baginda pada 5 Jun.

Namun, dalam kenyataan baginda juga turut ditekankan mengenai perubahan menyeluruh demi kebajikan jangka panjang FAS yang akan dilakukan.

Advertisement

Bagi penulis, setiap ahli gabungan dalam FAS juga perlu berlapang dada dan bersedia untuk perubahan yang akan dilaksanakan Tengku Amir apabila baginda disahkan selaku Presiden FAS dalam mesyuarat agung luar biasa persatuan itu Julai depan.

Sudah pasti rata-rata peminat Selangor juga mahu melihat Tengku Amir melakukan  perubahan kepada bola sepak Selangor seperti mana Tunku Ismail Sultan Ibrahim lakukan di Johor menerusi kelab Johor Darul Takzim (JDT).

Namun, penulis berasa kita perlu bagi ruang dulu buat Tengku Amir merangka perubahan yang ingin dilakukan baginda.

Tidak semestinya cara di Selangor perlu sama dengan di Johor kerana, mungkin Tengku Amir juga mempunyai idea tersendiri dalam pembahruan yang jngin dilakukan baginda.

Apa yang pasti, kehadiran Tengku Amir sebagai Presiden FAS yang baru turut mendapat sokongan kerajaan negeri Selangor.

Exco Sukan kerajaan negeri Selangor, Amirudin Shari menyuarakan sokongan kerajaan negeri terhadap kepimpinan Tengku Amir menerusi kenyataan rasminya pada 5 Jun.

Harapan penulis adalah untuk FAS di bawah kendalian Tengku Amir tampil dengan kaedah pengurusan yang lebih profesional.

Mungkin pucuk pimpinan FAS selepas ini boleh duduk semeja dengan kerajaan negeri, dalam usaha mencari kaedah terbaik buat persatuan ini menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada dana kerajaan negeri.

Akademi Merah Kuning yang sebelum ini di bawah seliaan Majlis Sukan Negeri Selangor mungkin  ditempatkan kembali dibawah FAS dan program  pembangunan akar umbi terus diperluaskan.

Dan akhir sekali, sudah pasti peminat mahu menyaksikan skuad Selangor yang lebih ampuh musim depan.

Sebagai pasukan penuh tradisi dalam kancah bola sepak tempatan, FAS perlu tampil lebih gah daripada segi pengurusan, skuad utama serta skuad Piala Presiden dan Belia selepas ini.

Sudah pasti Tengku Amir sedar cabaran besar serta harapan tinggi peminat Selangor.

Bagi penulis, kesediaan baginda menerajui FAS membuktikan baginda sudah bersedia mengharungi cabaran yang akan datang.

Must Watch Video