Skip to main content

Rencana

Syabas Chun Yong

chiew-chun-yong-futsal-110817.jpg
Kejayaan pengendali futsal negara, Chiew Chun Yong, membawa skuad kendaliannya ke final saingan Kejohanan Futsal AFF 2017 boleh dianggap pencapaian menakjubkan.

Walaupun kini Malaysia tidak mempunyai saingan liga futsal profesional, Chun Yong tetap mampu memastikan Malaysia mampu merapatkan jurang dengan Thailand, kuasa besar rantau Asean dan Asia.

Kejayaan mara ke final AFF 2017 adalah yang pertama buat Malaysia sejak edisi 2010.

Memang sukar di final berdepan Thailand pada Jumaat, 3 November nanti, kerana Thailand merupakan juara 12 kali AFF namun ia kesinambungan baik buat barisan negara selepas meraih perak di Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu.

Bagi penulis, Chun Yong adalah seorang jurulatih luar biasa yang berjaya meningkatkan tahap futsal negara yang hakikatnya serba kekurangan.

Bukan mudah membentuk skuad futsal kebangsaan mantap tanpa mempunyai saingan liga futsal domestik yang kompetitif.

Malah Chun Yong kerap juga kelihatan di pusat futsal seperti Sports Planet Ampang dan Sports Planet Kota Damansara, meninjau bakat-bakat berpotensi yang beraksi di liga amatur.

"Memang saya sekali-sekala meninjau liga amatur, jika ada yang berbakat saya akan memanggil mereka menjalani pemilihan bersama skuad negara," kata Chun Yong kepada penulis sebelum berlepas ke Vietnam untuk saingan AFF 2017 baru-baru ini.

Penjaga gol utama futsal negara, Firdaus Razali pula menyifatkan Chun Yong sebagai jurulatih yang menekankan aspek disiplin, tetapi dia juga bijak meningkatkan motivasi pemain.

Penulis berharap, aksi konsisten skuad negara di pentas antarabangsa akan membuka mata pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memberi lebih sokongan buat skuad futsal negara.

Sokongan yang penulis maksudkan ialah penganjuran liga futsal profesional bagi terus meningkatkan tahap futsal negara dan mungkin latihan luar negara buat skuad kebangsaan.

Dalam ranking dunia terkini futsal, Malaysia di ranking ke 57 dunia, kelapan di Asia dan ketiga di kalangan negara anggota AFF.

Kejayaan menewaskan Vietnam 5-1 pada separuh akhir AFF, dijangka melonjakkan lagi ranking skuad negara memandangkan Vietnam berada di ranking yang lebih tinggi. 

Berlandaskan prestasi terkini, penulis berasa ia tidak mustahil buat skuad negara bersaing merebut salah satu daripada lima slot ke Piala Dunia 2020 di saingan Futsal AFC 2018.

Kepada Chun Yong, teruskan usaha gigih meningkatkan lagi martabat futsal negara di pentas antarabangsa.

 

Advertisement

Must Watch Video