Ini pentas Sukan Asia kedua saya sejak bersama Astro Arena pada 2012. Cerita ketika kehangatan temasya terhebat Asia berlangsung di Incheon berkisar tentang saya berganti-ganti tugasan di Bilik Berita bersama bekas rakan setugas, Ellia Raini kerana hanya kami yang tinggal di pangkalan Wisma Ali Bawal pada masa itu.
4 tahun berselang lebih gila, saya memulakan debaran Indonesia dengan mencipta sejarah membuat ulasan perlawanan bola sepak bagi aksi sulung - membabitkan dua seteru kumpulan A, Laos dan Hong Kong.
Advertisement
Sudahlah kali pertama, hanya beberapa nama pemain Hong Kong yang saya pernah dengari. Main futsal pun saya tidak minat. Gementarnya hanya tuhan yang tahu. Mana ada pengulas wanita dalam perlawanan bola sepak lelaki kan.
Alhamdulillah tugasan "mengejut" bersama Penerbit dan Wartawan, Fadzrie Hazis berjalan lancar dibawah pemantauan penerbit rancangan, Hafiz Fazre Wahid yang turut sama membantu itu dan ini. Saya beranggapan ia jauh lagi untuk sampai ke skala baik, apatah lagi mahu duduk semeja dengan pengulas tersohor seperti Shaukei Kahar atau Zainal Abidin Rawop.
Jauh di sudut hati, saya tetap berasa puas kerana berani mencabar diri. Saya fikir saya juga cukup bertuah kerana diberi kepercayaan untuk mengisi peluang ini. Terima kasih kepada semua, kepada yang sentiasa percaya dengan bakat saya dan yang selalu berada di samping saya memberikan sokongan. Saya tahu anda tahu siapakah anda.
Sepanjang edisi ke-18 Sukan Asia ini, anda boleh ikuti berita sukan Nadi Arena bersama dengan saya serta rakan setugas - Jun Yong, Sharon Wee dan Zulhelmi Zainal Azam di saluran 800 dan 803 HD. Sementara saluran biasa kami 801 dan 802 HD akan membawakan liputan harian dan siaran langsung perlawanan terus daripada Jakarta dan Palembang.
Nota kaki: Mengomel perlawanan bola sepak di kedai mamak tak sama rupanya dengan membuat ulasan secara langsung untuk siaran televisyen