Skip to main content

Rencana

Sudah sudah lah Nazmi

nazmifaiz.jpg
KECOH lagi insiden gagal mengawal emosi daripada pemain lincah Nazmi Faiz sehingga cetus runsing pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan.

Nazmi dikenali sebagai 'wonderkid' satu ketika dahulu namun gelaran itu hilang dan 'wonderkid' kini lebih dikenali sebagai budak nakal.

Semuanya gara-gara kegagalan pemain ini kawal emosi dalam beberapa perlawanan sehingga berlaku pertelingkahan yang membawa kepada kerugian bagi pihak Nazmi selain beri kesan kepada pasukan kesayangannya sendiri iaitu Selangor.

Terbaru, Nazmi diperintah keluar padang pada minit 70 ketika pertemuan Liga Super dengan PDRM selepas dia dengan sengaja mengasari dan menumbuk pemain tengah, PDRM Andrezinho.

Ini bukan perkara pelik malah Nazmi sering dikecam kerana gagal mengawal emosi antaranya meludah pemain dalam aksi Selangor menentang Kelantan dalam saingan Liga Super selain amarah Nazmi turut gagal dibendung ketika aksi Malaysia menentang Timor Leste dalam Sukan Sea, Singapura tahun lalu.

Tindakan Nazmi seolah-olah mengikut skrip ciptaannya sendiri, pemain ini seringkali tampil beri penjelasan, mohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perkara sama daripada berulang.

Namun sehingga kini Nazmi gagal mengotakan janji-janji lalu malah insiden baru pula berlaku.

Saya tertanya-tanya apa yang membawa kepada perlakuan sedemikian daripada pemain yang cukup berbakat ini kerana mengenalinya secara peribadi, Nazmi seorang yang berperwatakan lembut dan mudah untuk didekati dengan sikap ramahnya.

Jangan terlalu mendabik dada dengan sejarah lalu kerana perjalanan Nazmi masih jauh dalam dunia bola sepak dan segalanya mampu hilang sekelip mata andai Nazmi gagal membendung sikap negatifnya itu bermula dari sekarang.

Untuk Nazmi, tidak terlambat jika mahukan perubahan drastik untuk dirinya kerana itu lah yang terbaik jika dia sayangkan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video