Skip to main content

Advertisement

Rencana

Solskjaer tiga tahun, berbaloi atau tidak?

cover-nafis-solskjaer.jpg
Jumlah 14 kemenangan yang diraih daripada 19 perlawanan akhirnya cukup untuk Manchester United menawarkan kontrak tetap selama tiga tahun buat pengendali, Ole Gunnar Solskjaer.

Biarpun bekas pengendali United, Louis Van Gaal, berpendapat corak taktikal yang diamalkan Solskjaer tidak berbeza berbanding individu yang digantikannya, Jose Mourinho, namun pengurusan tertinggi The Red Devils tetap yakin bekas pengurus Molde itu berhak menerima kontrak dengan bayaran GBP7 juta (RM37.3 juta) semusim.

Berhak? Mengapa Solskjaer layak diangkat selaku pengurus tetap United?



Sejak tiba di Old Trafford, Disember lalu, Solskjaer mencatat 10 kemenangan liga daripada 13 perlawanan, sekali gus mencatat kadar 74 peratus kemenangan (tertinggi buat pengendali United).

Malah, dia mengutip 32 mata dalam 13 aksi pertama dan hanya dua pengendali di England yang meraih kempen lebih baik, iaitu Carlo Ancelotti (33) serta Guus Hiddink (34) ketika kedua-duanya bersama Chelsea.

Sewaktu kehadirannya, United menduduki tangga keenam liga selepas hanya mencatat tujuh kemenangan dalam 17 aksi terakhir. Lebih perit, mereka ketinggalan lapan mata di belakang Arsenal yang berada di kedudukan kelima dan terpisah 11 mata berbanding Chelsea (keempat).

Namun, tiada pasukan yang meraih lebih daripada 32 mata yang dikutip Solskjaer sehingga membolehkan mereka kini satu mata mengatasi The Blues.



Lebih mengagumkan, kebangkitan yang dipamerkan dalam aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah ketika berdepan Paris Saint-Germain (PSG) membolehkan United muncul pasukan pertama dalam sejarah kejohanan yang meneruskan kemaraan selepas tewas dua gol atau lebih di laman sendiri dalam pertemuan pertama.

Itu gambaran kasar mengenai pasukan tetapi bagaimana Solskjaer mengendalikan pemain dalam skuad United?

Dua produk akademi United, Paul Pogba dan Marcus Rashford, serta penggempur Belgium, Romelu Lukaku, semestinya paling mencuri perhatian sejak kehadiran Solskjaer.

Tiga pemain itu menghasilkan 26 gol serta sembilan bantuan jaringan tatkala Pogba mendahului senarai itu dengan 16 penglibatan dalam menghasilkan gol.



Kemunculan pemain muda seperti Tahith Chong, James Garner, Angel Gomes dan Mason Greenwood juga mengukuhkan nama Solskjaer selaku individu tepat untuk terus mengemudi United menerusi ‘baka’ The Red Devils.

Kontrak tetap sudah terjamin, tempoh bulan madu Solskjaer di Old Trafford telah berakhir dan menjelang baki saingan musim ini, segalanya terserah kepada pengurus yang pernah dijulang dengan jolokan ‘The Baby Face Assassin’ itu untuk memastikan United menamatkan saingan liga sekurang-kurangnya dalam kelompok empat pasukan terbaik, sekali gus menjamin slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

Kredit foto: Skysports

Advertisement

Must Watch Video