Skip to main content

Rencana

Skrip sama, edisi temasya berbeza

fadzrie-hazis.jpg
Penulis sebelum ini berpeluang menyaksikan dua final bola sepak Sukan Sea sebagai peminat pada 1989 dan 2001.

Ketika diberi tugasan membuat liputan final edisi Sukan Sea 2017 bersama rakan setugas Zulhelmi Zainal Azam, penulis berharap skrip edisi 1989 di mana kita muncul juara berulang dan bukannya ulangan 2001 yang berakhir dengan kekalahan dan kedukaan.

Namun, hakikatnya aksi ulangan 2001 berulang di stadium yang sama dan perbezaan kali ini hanyalah penulis bertugas dan bukan menonton sebagai peminat.

Temasya kali ini menyaksikan penulis lebih banyak ditugaskan membuat liputan sukan lain namun, penulis tetap mengikuti perkembangan skuad b22 tahun negara sepanjang KL2017 berlangsung.

Hasil perbincangan kerap dengan Zulhelmi serta beberapa pemain yang penulis kenali dalam pasukan itu, penulis percaya barisan kali ini berpeluang menamatkan penantian emas bola sepak sejak 2011 di Jakarta.

Namun, malapetaka minit ke 39, apabila bola sepakan sudut pemain sayap Buriram United, Sasalak Haiprakhon ditumbuk Haziq Nadzli ke gawang sendiri seakan ulangan edisi 2001.

Ketika 2001, penjaga gol ketika itu Kamarulzaman Hassan tersepak hantaran silang pemain Thailand ke gawangnya sendiri ketika cuba menyepak bola keluar dari kawasan bahaya.

Secara kebetulan ketika perlawanan pada Selasa, kapten skuad 2001 Hairuddin Omar duduk berdekatan penulis.

Sebaik bola menerjah jaring, penulis menepuk dahi dan memandang Hairuddin sambil bekas pemain ATM itu turut memandang penulis dengan wajah kecewa.

" Cerita sama ni," itu reaksi Hairuddin kepada penulis dan ternyata kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat walaupun pemain berjuang sehingga wisel penamat.

Kerjaya Kamarulzaman tidak berpanjangan selepas final 2001 tetapi, penulis berharap perjalanan kerjaya Haziq tidak mengikut jalan yang sama.

Haziq memiliki potensi cerah sebagai penjaga gol dan hanya berusia 18 tahun ketika Polis Diraja Malaysia menandatangani pemain ini untuk saingan Liga Super pada 2016.

Selaku pemain profesional, penjaga gol JDT ini perlu kuat menghadapi waktu sukar kini dan kembali membuktikan kredibilitinya di atas padang.
Apa pun, kita harus menerima kekalahan ini dan harus sekali lagi akur dengan kekalahan di tangan Thailand.

Cuma, kita perlu mengkaji mengapa juga dalam tempoh lima hingga tujuh tahun ini bola sepak Thailand lebih maju daripada kita jika mahu kembali sebagai jagoan rantau ini. 

 

Advertisement

Must Watch Video