Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen, menyifatkan kekalahan 0-3 skuad Piala Uber negara kepada China, semalam, adalah proses jangka panjang yang memerlukan kesabaran.
Menurutnya, perjuangan skuad negara masih jauh dari pengakhiran kerana semangat juang dan persembahan yang ditunjukkan pemain dalam kempen di Horsens, Denmark, sebenarnya sudah “menang besar” di mata rakyat Malaysia.
Advertisement
"Ia satu cabaran yang besar. Dua perlawanan pertama kami mampu menggoncangkan pihak lawan sedikit.
"Namun, tahap dan pengalaman pihak lawan mampu menangani tekanan dan China memperlihatkan dua aksi berkelas dunia.
"Saya harap ia memberi inspirasi kepada pemain untuk mencapai tahap seperti ini, tapi ini semua bergantung kepada pemain sendiri.
"Saya mahu pemain berasa mereka mampu capai tahap ini seandainya berusaha gigih," katanya.