Skip to main content

Rencana

Sistem VR perlu ke era profesional

umpire.jpg
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berhak untuk membantah keputusan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang tidak mahu menggunakan sistem Video Referral (VR) dalam Final Siri Hoki Dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, dari 26 April hingga 4 Mei ini.

Ia adalah tindakan yang amat tepat daripada KHM kerana sistem VR amat penting dalam dunia hoki moden sekarang apatah lagi kejohanan itu juga merupakan pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kategori lelaki menyaksikan Final Siri Hoki Dunia akan berlangsung di Malaysia, India dan Perancis manakala wanita pula bakal diadakan di Ireland, Jepun serta Sepanyol.

Disebabkan beberapa negara tidak dapat menyediakan sistem VR itu menyaksikan FIH membuat keputusan tidak menggunakannya dalam kejohanan yang amat penting itu.

Secara peribadi, saya amat kecewa dengan keputusan FIH memandangkan hoki sedang berada di era profesional tetapi badan induk sukan hoki dunia itu seakan-akan mengambil satu langkah ke belakang.

Sistem VR sememangnya dapat membantu pengadil-pengadil membuat keputusan yang tepat dan adil buat pasukan-pasukan bertanding lebih-lebih lagi dalam kejohanan penting seperti kelayakan ke Sukan Olimpik.

Saya melihat kewujudan sistem ini berjaya mengelak rasa tidak puas hati terhadap keputusan-keputusan yang dibuat dalam sesuatu perlawanan.

Pengadil hanyalah manusia biasa dan kadang kala tidak terlepas daripada membuat keputusan yang boleh dipertikaikan pemain dan jurulatih di atas padang kerana mereka mempunyai beberapa saat sahaja untuk membuat keputusan.

Bagi saya, FIH perlu mengambil pendekatan yang lebih profesional dalam menangani situasi ini jika mahu memastikan ahli-ahli gabungan mereka juga bersikap profesional.

Dari awal lagi FIH sepatutnya meletakkan syarat-syarat kepada negara-negara yang mahu menjadi tuan rumah supaya mereka dapat memenuhi kriteria ditetapkan sebelum mendapat hak penganjuran.

Bukan sahaja KHM, para pemain dan barisan kejurulatihan skuad negara, bahkan saya melihat rata-rata peminat hoki baik di Malaysia dan luar negara juga menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan FIH tidak menggunakan sistem VR.

Sebagai pemerhati sukan hoki dan bekas kapten pasukan kebangsaan, saya menyatakan sokongan terhadap keputusan KHM untuk mengemukakan rayuan agar sistem VR dapat digunakan dalam Final Siri Hoki Dunia di Kuala Lumpur, hujung bulan ini.

Semoga FIH dapat mempertimbangkan rayuan KHM.

Advertisement

Must Watch Video