Skip to main content

Rencana

Siapa datang kita langgar!

hokiii.jpg
Skuad hoki lelaki negara perlu melupakan kekalahan 1-4 di tangan Pakistan dalam aksi keempat Kumpulan B Sukan Asia 2018 di Gelora Bung Karno, Indonesia semalam.

Kekalahan itu sedikit sebanyak merencatkan peluang Malaysian Tigers untuk mara ke pentas separuh akhir sebagai juara kumpulan.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna skuad negara perlu terus bersedih dengan kegagalan itu, sebaliknya bangkit memberikan fokus penuh menentang lawan di separuh akhir, sama ada India atau Korea Selatan.

Barisan pemain perlu memegang prinsip Skuad Projek 2013, "siapa datang, kita langgar"!

Pasukan kendalian Stephen Van Huizen boleh mengambil iktibar daripada kekalahan di tangan Pakistan untuk memperbaiki aspek kelemahan ditonjolkan dalam perlawanan itu sebagai persediaan ke separuh akhir nanti.

Pakistan ternyata menunjukkan peningkatan ketara sejak di bawah bimbingan Roelant Oltmans, terutama daripada segi struktur dan konsep permainan mereka.

Aspek 'counter defense' Pakistan juga dilihat lebih pantas dan tersusun, selain kemampuan bertahan sebagai satu unit yang efektif serta ketepatan posisi pemain-pemain yang teratur ketika dalam keadaan menguasai bola.

Situasi perlawanan semalam pasti berubah sekiranya Meor Muhamad Azuan Hasan dapat memanfaatkan peluang sewaktu suku masa kedua permainan. 

Keadaan skuad negara terpaksa bermain dengan sembilan pemain disebabkan Mohd Fitri Saari serta Faiz Helmi Jali menerima layangan kad hijau dan kuning secara serentak, sekaligus memberi peluang kepada Pakistan menjaringkan gol.

Malaysian Tigers juga perlu mengurangkan kesalahan memberikan pukulan sudut penalti mudah kepada lawan apabila membenarkan Pakistan memperoleh sembilan menyaksikan skuad negara dihukum dengan dua gol.

Bagaimanapun, kekalahan itu tidak bermakna perjuangan Malaysian Tigers sudah tamat, sebaliknya para pemain perlu bangkit kembali bersatu kerana perjalanan masih jauh.

Andai ditakdirkan bertemu India di separuh akhir, Malaysian Tigers perlu membuktikan semula kekuatan sebenar kerana mereka pernah menewaskan lawan sama pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London tahun lepas.

Sekiranya lawan di separuh akhir ialah Korea Selatan, perkara sama juga harus dilakukan skuad negara kerana hanya prestasi terbaik mampu menewaskan kedua-dua negara ini.

Advertisement

Must Watch Video