Skip to main content

Rencana

Siapa betul, siapa salah?

akhyar.jpg
Kata pepatah, “Tali jangan putus, kaitan jangan sekah” sangat bertepatan dengan isu perpindahan pemain melibatkan ubi muda Kedah, Akhyar Rashid, ke Skuad Harimau Selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Polemik ataupun kontroversi yang melanda tampak tidak akan berakhir di meja rundingan selepas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak berganjak dengan keputusan untuk membawa kes “tapping up” Akhyar ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Apa yang terjadi sememangnya menyesakkan nafas peminat bola sepak yang berpendapat isu sebegini bukan isu baru, malah sudah berlarutan sejak JDT merajai bola sepak tanah air kebelakangan ini. 

Siapa yang harus dipersalahkan dalam urusan caca-merba ini? Adakah KFA wajar berkeras mempertahankan aset pasukan yang diasah dan digilap sehingga menjadi taruhan skuad kebangsaan di semua peringkat umur termasuk skuad senior? Benarkah JDT tidak mengikut prosedur atau pihak Mat Yat sendiri yang membelakangkan KFA? Adakah Akhyar benar-benar seorang pemain bebas selepas menebus kontrak dengan KFA?

Semua persoalan ini mungkin terjawab andai semua pihak bersikap professional dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan badan induk bola sepak negara, FAM. Yang paling penting, faham peraturan, kandungan kontrak serta terma dan syarat yang ditandatangani antara pemain dan kelab.

Namun, hati kecil saya beranggapan, FAM wajar turut diheret sebagai petualang kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai mata kepada semua persatuan bola sepak negeri dan kelab gabungannya kerana peraturan perpindahan pemain sudah acap kali dilanggar. Mampukah FAM terus memekakkan telinga membiarkan polemik seperti ini berterusan setiap kali tiba musim baru?

Tepuk dada, tanya selera. Kalau tiada angin, masakan pokok akan bergoyang. Betul tak?

Saya tinggalkan anda dengan banyak persoalan. Ini pandangan sahaja, nak terima atau tidak terpulang kepada anda. Terima kasih, terima kasih, terima kasih.

Advertisement

Must Watch Video