Skip to main content

Rencana

Sertai PSG hanya akan hancurkan legasi Neymar

neynar.jpg
Neymar dilihat bakal meninggalkan Barcelona untuk bersama Paris Saint-Germain (PSG) musim panas ini, tetapi adakah ia merupakan satu jalan yang terbaik untuk berhijrah daripada kelab yang paling berjaya di dunia untuk bersama pasukan yang menamatkan saingan di tempat kedua Ligue 1 dan tidak pernah memenangi Liga Juara-Juara (UCL)?

Spekulasi demi spekulasi membayangkan Neymar sudah tidak akan kekal bersama The Catalans bagi saingan musim hadapan. 

PSG merupakan kelab yang bersedia mengambil risiko untuk mengaktifkan klausa perpindahan Neymar bernilai EURO200 juta (RM1.1 billion) untuk mendapatkan pemain tersebut.

Berita penghijrahan Neymar terus menjadi perbualan hangat selepas terlibat dalam insiden pergaduhan dengan rakan sepasukannya, Nelson Semedo, dalam sesi latihan di Miami, Amerika Syarikat, tempoh hari. Bagaimanapun, pemain yang mula mencipta nama bersama Santos itu dilihat sebagai pemain yang bakal mewarisi zaman kegemilangan Brazil selepas Rivaldo, Ronaldo dan Ronaldinho selepas memeterai perpindahan untuk ke Nou Camp pada musim 2013-14.

Pemain berusia 25 tahun itu membentuk gandingan jentera serangan yang paling berbahaya bersama Lionel Messi dan Luis Suarez yang dikenali sebagai 'MSN', mencipta 122 gol dalam semua kejohanan dan memperbaiki rekod itu pada musim berikutnya dengan 131 gol.

Namun, musim 2016-17 bukan milik Barca dan Neymar sekadar menjaringkan 13 gol dan mereka gagal mempertahankan gelaran LaLiga yang sebaliknya dimenangi oleh Real Madrid.

Walaupun tidak menjaringkan banyak gol seperti musim 2015-16, Neymar telah hadir sebagai antara pemain yang berpengaruh untuk menyelamatkan Barca. 

Usahanya membantu Barca menebus kekalahan 4-0 kepada PSG dalam saingan pusingan kedua UCL dalam aksi timbal balik, adalah antara sejarah yang akan terpahat di dalam hati semua pencinta sukan bola sepak. 

Dia menjaringkan dua gol, meraih sepakan penalti untuk Barca sebelum melakukan hantaran kepada Sergio Roberto untuk menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan yang berkesudahan 6-1.



Persembahan yang penuh bertenaga itu mempamerkan kebolehan sebenar yang dimilikinya dan mampu mengisi tempat Messi pada masa akan datang.

Jika Neymar mahu mengetuai pasukan dan memenangi Ballon d'Or -- seperti Messi atau Cristiano Ronaldo bersama Real Madrid – maka berhijrah ke PSG bukan jalan yang tepat.

Memang benar perpindahan ke PSG mampu menjanjikan wang yang lumayan, tetapi untuk menjadi antara kalangan pemain terbaik di dunia, ia akan merosakkan legasinya beraksi dalam saingan yang kurang kompetitif.

Advertisement

Must Watch Video