Skip to main content

Rencana

Separuh akhir UCL, siapa layak ke final? (Bahagian 2)

david-neres.jpg
Dalam bahagian satu, penulis memilih pasukan Barcelona yang bakal layak ke final berbanding pasukan Liverpool.

Satu lagi separuh akhir menemukan wakil Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur, berdepan Ajax Amsterdam.

Mauricio Pochettino dan anak-anak buahnya melakukan kejutan menumbangkan pasukan The Citizens yang sememangnya tidak mempunyai rekod baik dalam Liga Juara Juara Eropah.

Ketiadaan Harry Kane, bukanlah penghalang untuk Spurs mendapatkan jaringan dengan pemain sandaran lain seperti Lucas Moura, Son Heung Min dan Fernando Llorente mampu mengisi kekosongan jentera serangan.

Pengalaman yang dimiliki Hugo Lloris di benteng akhir mereka, di samping kehadiran Jan Vertonghen, Toby Alderweireld, Ben Davies dan Kieran Trippier sebenarnya mampu memastikan gawang mereka tidak dibolosi sewaktu berdepan Ajax nanti.

Bagi skuad Ajax, kejayaan menumpaskan Real Madrid dan Juventus dalam pusingan kalah mati, sudah cukup membuat Spurs untuk tidak memandang mudah kehadiran mereka.

Biarpun tanpa bintang besar, kecuali pemain senior seperti Jan Klaas Huntelaar, Dusan Tadic dan Daley Blind, pasukan ini tidak bergantung kepada keupayaan individu pemain. 

Kerjasama dan semangat berpasukan harus menjadi perkara yang ditakuti Spurs kerana di Ajax, sesiapa sahaja mampu meledakkan jaringan.

Dengan ketua pasukan mereka, Matthjis De Ligt, belum pun mencecah usia 20 tahun, Spurs pasti sudah boleh membayangkan corak permainan pantas pasukan yang penuh dengan tenaga muda ini.

Kelebihan utama Spurs mungkin pengalaman yang dimiliki setiap pemain mereka dalam perlawanan besar dan kelebihan bagi Ajax sudah tentu kedudukan mereka sebagai ‘underdog’ yang kurang memberikan tekanan.

Pilihan peribadi penulis, penulis memilih Ajax Amsterdam selaku calon yang akan beraksi di pentas final berdepan satu lagi pasukan pilihan, Barcelona.

Advertisement

Must Watch Video